Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Minggu Kedah anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Tourism Kedah dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang berlangsung di Pavilion Malaysia bersempena dengan Ekspo Osaka 2025, Jepun berjaya menonjolkan tarikan budaya dan pelancongan negeri Kedah.

Program selama seminggu itu menarik perhatian pengunjung dari 200 buah negara di seluruh dunia.

Sepanjang minggu, para pengunjung berpeluang merasai sendiri keunikan budaya, makanan tradisional dan tarikan pelancongan Kedah, sejajar dengan usaha Pavilion Malaysia memperkenalkan kepelbagaian negara kepada khalayak global.

Antara tarikan utama sepanjang minggu tersebut termasuklah demonstrasi dan hidangan tradisional makanan seperti nasi lemak, laksa dan gulai ikan yang disediakan oleh Saifudin Rosli atau dikenali Chef Din dari Kedah .

Selain itu, terdapat juga sesi interaktif penyediaan roti jala dan kari ayam yang menjadi tumpuan utama pengunjung, memaparkan kekayaan rasa dan keunikan budaya.

Minggu Kedah di Ekspo Osaka itu turut menampilkan persembahan silat pulut dan seni bela diri tradisional Malaysia oleh pasukan dari Kedah.

Dalam segmen fesyen pula, Baju Kurung Kedah diperagakan dalam gaya moden, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya.

Selain itu, para pengunjung diberi peluang untuk mencuba pakaian tersebut sebagai pengalaman langsung terhadap warisan tekstil Kedah.

Sorotan utama ialah pameran pelancongan cuti-cuti Kedah dengan tema “Experience Kedah” sebagai sebahagian daripada Kempen Melawat Kedah 2025.

Inisiatif ini mempromosikan keunikan tarikan semula jadi dan budaya negeri Kedah, sekali gus menarik minat mendalam dalam kalangan pengunjung dan menggalakkan pertumbuhan pelancongan untuk terus masuk ke negeri Kedah pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah bukan sahaja kaya dengan warisan, malah menjadi negeri Malaysia pertama yang menganjurkan minggu khas di Ekspo Osaka 2025 itu.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Kedah kepada dunia sebagai negeri yang meraikan tradisi sambil menyambut inovasi.

“Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Kedah kini bersedia melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh kehadirannya di pentas antarabangsa,” katanya.

Turut hadir sama di ekspo itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Datuk Seri Norizan Khazali; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Kedah, YB Datuk Mohd Salleh Saidin.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi