Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Azlina Othman
Nilai – Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkongsi ilmu berkenaan perkembangan terkini dalam bidang Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Management), baru- baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa pengetahuan kini bukan lagi aset yang statik, tetapi sudah menjadi sumber dinamik yang perlu diurus, dikongsi dan dimanfaatkan.
Hal ini selari dengan hadis riwayat al-Tirmizi; “Keutamaan seorang alim (ilmuwan) atas seorang ahli ibadah adalah seperti keutamaanku atas orang yang paling rendah di antara kalian.”
“Hadis ini menekankan pentingnya menuntut ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain, serta menunjukkan bahawa ilmu memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam”
“Menuntut ilmu bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi satu bentuk ibadah, yang mengangkat martabat manusia, membuka jalan ke syurga dan menjadi amalan yang berterusan manfaatnya.” Jelas Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam perkongsian yang disampaikannya.
Selain itu, beliau juga menyatakan ledakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya (Big Data) dan platform kolaboratif, pendekatan tradisional dalam pengurusan pengetahuan perlu digantikan dengan kaedah yang lebih inovatif serta berimpak tinggi.
Menurut beliau lagi, antara cabaran utama dalam pelaksanaan pengurusan pengetahuan termasuklah kurangnya kefahaman yang jelas dalam kalangan warga organisasi mengenai kepentingan ilmu serta budaya perkongsian pengetahuan.
Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau turut menekankan kepentingan penerapan konsep 5M — Mandate, Manpower, Money, Machine dan Method — sebagai kerangka pelaksanaan pengurusan pengetahuan di USIM, yang akan diterajui oleh pihak perpustakaan.
Terdahulu, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah kelolaan Knowledge Management Team telah menganjurkan program “The Future of Knowledge Management Talk” bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan USIM.
Selaras dengan objektif, program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai trend semasa dan masa depan Pengurusan Pengetahuan (KM), membincangkan cabaran serta peluang dalam pelaksanaan KM di institusi pengajian tinggi.
Perkongsian ini juga memberikan pendedahan mengenai teknologi dan inovasi yang mempengaruhi landskap KM, serta mempertingkatkan kesedaran tentang peranan KM dalam menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan pengurusan pentadbiran universiti.
Program ini dilihat bertepatan dengan peranan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam menjana ilmu, tetapi juga memastikan penyebaran dan manfaat ilmu pengetahuan berlaku secara sistematik dan menyeluruh.
Selain itu, program ini juga membuka ruang perbincangan antara warga akademik dan pentadbiran universiti mengenai strategi terbaik dalam membina ekosistem KM yang berdaya tahan dan inklusif.
Melalui penganjuran program sebegini, USIM terus komited dalam memperkukuhkan pengurusan pengetahuan sebagai asas kepada kecemerlangan institusi, sekaligus memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pentadbiran.