Diterbitkan pada 19 Mei 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – “Penganjuran Wacana Citra Bandar Raya Miri akan membuka minda kita, mencetuskan idea-idea baharu serta memberikan inspirasi dalam merangka dasar dan inisiatif yang lebih holistik dan lestari berlandaskan visi untuk menjadikan bandar raya Miri sebagai bandar hijau, pintar dan inklusif selaras dengan agenda pembangunan negeri dan negara.”

Demikian inti ucapan yang disampaikan oleh Datuk Bandar, Yang Berhormat Encik Adam Yii Siew Sang semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Wacana Citra Bandar Raya Miri yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dan Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri dan Pejabat Residen Miri.

Dalam ucapan tersebut, beliau menambah, “Wacana Citra Bandar Raya Miri ini amat bertepatan kerana menyentuh soal jati diri bandar raya, warisan sejarah dan bagaimana kita mengekalkan identiti Miri di tengah-tengah arus globalisasi dan transformasi digital.”

Beliau menegaskan bahawa pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi tetapi perlu diperkukuh dengan citra dan nilai bersama yang melambangkan Miri sebagai bandar yang dihuni oleh masyarakat berilmu, berbudaya dan berdaya saing.

(Dari kiri) Zainal Abidin Suhaili, Shamsul Idzam Jamil, Ja’afar Haji Hamdan dan Hipani Alwi.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau berharap pada masa hadapan akan lebih banyak lagi program bersifat keintelektualan dan kebudayaan dapat diadakan dan seterusnya mampu membantu kerajaan mencari kaedah atau pendekatan yang sesuai untuk memajukan lagi Bandar Raya Miri.

Sebelum itu, telah berlangsung dua sesi wacana, iaitu sesi 1 dengan tajuk “Jejak-jejak Citra 20 Tahun Bandar Raya Miri dalam Antologi Sajak Miri Kota Bestari” yang menampilkan Encik Zainal Abidin Suhaili, Encik Ja’afar Haji Hamdan dan Encik Hipani Alwi sebagai ahli panel, serta Encik Shamsul Idzam Jamil sebagai moderator.

Sesi 2 pula bertajuk “Melihat Sejarah dan Masa Depan Bandar Raya Miri” mengetengahkan Tuan Haji Ariffin Mohamad, Encik Abdul Rahman Taupek, Puan Hajah Salina Zawawi dan Tuan Haji Yusree Haji Zainuzzaman sebagai ahli panel serta moderator Encik Jaya Ramba.

(Dari kiri) Haji Yusree Haji Zainuzzaman, Jaya Ramba, Haji Ariffin Mohamad, Hajah Salina Zawawi dan Abdul Rahman Taupek.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Datuk Bandar, Bandaraya Miri, YBhg. Tuan Haji Ariffin Mohamad; Pengarah DBPCS, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Puan Hajah Salina Zawawi; Pemangku Setiausaha Bandaraya Miri, Encik Abdul Rahman Taupek, dan Sasterawan Negeri Sarawak ke-5 merangkap Ketua 1 PUTERA, Encik Zainal Abidin Suhaili.

Kredit Foto: Norfazri Isquandy Nurol
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi