Diterbitkan pada 19 Mei 2025, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, telah mengadakan lawatan kerja ke Singapura untuk mengukuhkan hubungan dua hala pelancongan Malaysia-Singapura, mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama kepada pelancong Singapura dan program penempatan penduduk jangka panjang.

Semasa lawatan itu, YB Dato’ Sri Tiong King Sing telah bertemu dengan pemain utama dalam sektor pelancongan dan pengangkutan, termasuk Scoot Airlines dan Persatuan Bas Ekspres dan Persiaran (EBBA).

Pertemuan tersebut bertujuan untuk meningkatkan perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara, menjadikannya lebih mudah dan selesa bagi rakyat Singapura yang  melawat Malaysia.

Selain itu, satu daripada sorotan utama ialah acara Maybank Premier MM2H: Your Gateway to Malaysia pada 15 Mei 2025 di Singapura.

Acara tersebut yang dianjurkan bersama dengan Maybank Singapura, mengetengahkan program Malaysia My Second Home (MM2H), yang menawarkan gaya hidup, pelaburan dan pilihan persaraan yang menarik di Malaysia.

Program ini turut menyasarkan komuniti mewah di Singapura dan menggalakkan pelibatan secara langsung daripada wakil MM2H.

“Lawatan ini menunjukkan komitmen Malaysia bukan sahaja untuk menghidupkan semula pelancongan tetapi juga membina perkongsian jangka panjang yang lebih mendalam dengan Singapura.”

“Kami menjemput rakyat Singapura untuk melihat Malaysia bukan sahaja sebagai tempat untuk dikunjungi, tetapi juga sebagai rumah kedua mereka,” menurut Dato’ Sri Tiong.

Pada tahun 2024, lebih 18.85 juta rakyat Singapura telah melawat Malaysia, peningkatan sebanyak 27.2 peratus daripada tahun 2023, malah melepasi paras sebelum berlakunya pandemik.

Singapura juga menyumbang hampir RM28 bilion dalam perbelanjaan pelancongan dan menduduki tempat ketiga terbesar pemohon MM2H selepas Taiwan dan China.

Lawatan ini turut menunjukkan usaha Malaysia untuk mengekalkan Singapura sebagai rakan pelancongan utama dan meletakkan negara ini sebagai destinasi yang mesra pelancong dan penduduk dari negara lain yang akan berhijrah pada masa akan datang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi