Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBhg. Dato’ M. Nasir, seniman legenda tanah air, menyempurnakan pelancaran lagu tunggal Wawamsam yang berunsur komedi nyanyian pelakon, Joey Daud di SkyArk Event Spaces, Lakeville Lifestyle, baru-baru ini.

Kemunculan Wamwamsam yang menggemparkan, disulami inspirasi, dan wawasan ini menandakan Joey Daud tampil semula sebagai penyanyi, dengan nama pentas Daud M.

Daud M lahir daripada watak ikonik tersebut dalam filem terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid yang telah mencuri perhatian penonton.

Wamwamsam bukan sekadar lagu tunggal biasa, tetapi merupakan karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna, jenaka dan makna mendalam. Mengangkat tema wawasan dan pentingnya pendidikan sebagai akar kepada pembentukan diri, dan masa depan.

Di sebalik irama yang rancak dan lirik penuh sindiran sinikal yang menggeletek, tersembunyi mesej kukuh untuk semua lapisan masyarakat — dari pelajar sekolah rendah hingga ke penggubal dasar negara.

Selain Dato’ M. Nasir dan Joey, majlis Pelancaran Lagu Tunggal Wawamsam Joey Daud turut dihadiri YBrs. Encik Keon Omar, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas); YBrs. Puan Jennifah Johari, Pengurus Penerbitan Luncai Emas; serta YBrs. Encik Ilham dan Encik Hidayat Nasir, komposer bersama Wamwamsam.

YBrs. Encik Rahman Sahard’din, penulis lirik bersama Wamwamsam; YBrs. Encik Amen Khalid, pengarah video muzik Wamwamsam; tenaga produksi Enjit Semut Productions; dan YBrs. Encik M. Hitler Zami, pengarah drama televisyen dan filem tanah air turut hadir.

Umpama “sirih pulang ke gagang”, Joey merupakan artis rakaman pertama yang ditandatangani M. Nasir pada tahun 1994, di bawah label Luncai Emas. Oleh kerana itu, apabila diajak berkolaborasi pada pada tahun 2025, Luncai Emas terus bersetuju menerimanya.

Dalam ucapannya, Nasir yang juga Pengarah Urusan Luncai Emas menyatakan rasa gembira atas kemunculan semula Joey sebagai penyanyi. Beliau mengucapkan selamat sejahtera kepada suami pelakon/penyanyi Watie Elite itu.

“Oleh kerana Luncai Emas belum pernah ada penyanyi lagu komedi, maka Joey merupakan penyanyi lagu komedi pertama untuk syarikat saya ini,” ujar Nasir.

Dato M.Nasir menyampai ucapan dan seterusnya melancarkan lagu terbaharu terbitan Luncai Emas.

Wamwamsam hasil ilham Joey diperkayakan lagi dengan kolaborasi bersama-sama Ilham dan Hidayat, komposer muda di bawah naungan Luncai Emas, yang membawa nafas baharu dengan sentuhan pop dan susunan muzik yang berani serta unik.

“Lagu ini saya hasilkan daripada pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata, tetapi adalah panduan hidup. Mungkin kedengaran lucu, tetapi makna Wamwamsam itu mendalam,” jelas Joey.

Untuk menambahkan lagi kekuatan Wamwamsam sebagai karya yang inklusif dan bersifat kebangsaan, segmen rap khas oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos turut ditampilkan. Sentuhan A.D membawa elemen segar dan unik, dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang mencerminkan semangat rakyat Malaysia dari timur. Kolaborasi Joey-A.D menjadi jambatan yang menghubungkan pasaran muzik dari Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak.

Wamwamsam bukan lagu untuk satu kawasan sahaja, tetapi bagi seluruh Malaysia,” tegas Joey yang mengatakan apabila A.D masuk studio dan membawa gayanya yang tersendiri, lagu ini diyakini akan menjadi luar biasa.

Joey, Ilham dan Hidayat turut bertindak sebagai penerbit serta menyusun muzik bersama-sama Faliq Mohd yang juga jurutera rakaman, dan pengadun. Steve Carrao pula bertanggungjawab untuk pembikinan bahan utama (mastering).

Wamwamsam dirakamkan di Studio Ronggeng @ Luncai Emas. Selain dapat dinikmati menerusi Youtube Luncai Emas bermula 20 Mei 2025, pukul 9 malam, juga terdapat dalam saluran digital bermula 6 Jun 2025.

Menambah keterujaan pelancaran Wamwamsam, video muzik rasminya dihasilkan dengan konsep sinematik ala filem pendek, sekali gus menjadi iklan acah eksklusif kepada filem yang sedang dibangunkan, iaitu Daud M – filem susulan berdasarkan watak popular yang dibawa oleh Joey.

Lebih mengujakan adalah video muzik dan filem ini diarahkan oleh Amen, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, yang mewarisi sentuhan magis ayahnya itu dalam menyampaikan kisah rakyat dengan cara yang lucu, sinikal dan penuh nilai.

Video muzik Wamwamsam yang turut ditayangkan semasa majlis pelancaran, membawa penonton menyusuri kisah seorang pelajar kampung yang berwawasan tinggi, berjuang menentang masyarakat yang statik dan kekangan sistemik demi menuntut ilmu, dan perubahan.

Dari kiri: Keon Omar, Ilham Nasir, Dato’ M. Nasir, Joey Daud,  Amen Khalid, dan Hidayat Nasir.

Diwarnai visual dramatik, yang turut dibintangi Nasir dan Kazar, suasana sekolah retro, guru-guru eksentrik dan sindiran sosial yang tajam, pasti mengundang tawa, air mata dan perenungan.

Joey telah membuktikan dirinya bukan hanya pelawak atau pelakon, tetapi juga seniman sejati yang berani menerokai sempadan genre, dan medium. Dengan pengaruh budaya tempatan, nostalgia sekolah, dan mesej yang relevan, Wamwamsam dijangka menjadi fenomena tersendiri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi