Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 31 Mei 2025, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keunikan masakan negeri Perlis menempa nama pada peringkat antarabangsa menerusi penerbitan buku Masakan Perlis yang berjaya merentas lima benua, menjelajah 38 buah negara termasuk bandar di seluruh negara.

Buku Masakan Perlis ini turut menampilkan citarasa autentik dan warisan kulinari yang unik dari negeri Perlis kepada masyarakat global sejak tahun 2010 hingga kini.

Pelancaran buku ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen  Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melancarkan buku Masakan Perlis di reruai DBP, WTCKL.

Yang turut berangkat dalam majlis ini termasuklah anakanda baginda berdua, Yang Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamullail.

Untuk rekod, buku ini juga diterbitkan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, ulang tahun keputeraan baginda yang ke-82 pada 17 Mei yang lalu serta pelantikan baginda berdua selama 25 tahun sebagai pemerintah pada 12 Oktober 2025 ini.

Selain itu, penerbitan buku ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang akan terus dipergiat hingga tahun 2026.

Matlamat utama buku ini adalah untuk memperlihatkan kekayaan tradisi kulinari dan warisan masakan negeri Perlis ke peringkat antarabangsa, sekaligus memperkukuh identiti cerminan budaya tempatan.

Malah, idea penerbitan buku ini telah diilhamkan daripada pengalaman luas DYTM Tuanku Syed Faizuddin ketika berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia bagi negara Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara pada tahun 1995-1998,  manakala pada tahun 1998-2002, baginda juga telah berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan MAS bagi negara Switzerland, Austria dan Eropah Tengah, yang berpusat di Zurich.

Buku Masakan Perlis ini diterbitkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dengan beberapa rakan kerjasama strategik bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Suara Merdeka, BMC Travel, Mizza’s Kitchen dan Sadariffa Enterprise.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, YBhg. Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, Pengarah-pengarah Jabatan dan Ketua-ketua Bahagian DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi