Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa dengan menganjurkan persembahan tradisi dan budaya tempatan yang istimewa bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menurut Tourism Malaysia, pelancong disajikan dengan pengalaman budaya melalui persembahan tarian buluh yang dikenali sebagai Magunatip dan persembahan tradisional Kadazan-Dusun, selain makanan tradisi istimewa termasuklah tapai.
“Acara itu diadakan secara penuh istiadat yang dilancarkan dengan paluan bergema gong tradisional oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing diiringi dengan simbolik taburan beras bersama-sama persembahan alat muzik tradisional kulintangan sebagai penghormatan kepada semangat Pesta Kaamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tourism Malaysia berkata, Pesta Kaamatan disambut pada bulan Mei setiap tahun bagi menghormati semangat padi “Bambaazon” dan merupakan masa kesyukuran, perpaduan dan kebanggaan budaya dalam kalangan Orang Asli Sabah.
Katanya, inisiatif penganjuran acara ini sejajar dengan matlamat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk meningkatkan pelancongan budaya selain bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Sektor pelancongan Malaysia terus mencatatkan pemulihan dan pertumbuhan yang kukuh, iaitu pada ada tahun 2024, Malaysia menerima 38 juta pelancong antarabangsa, dengan peningkatan 31.1 peratus daripada tahun 2023 dan 8.3 peratus di atas paras prapandemik 2019,” jelasnya.
Tambahnya, trend ini terus menunjukkan peningkatan berterusan hingga awal tahun 2025 dengan merekodkan sebanyak 13.4 juta ketibaan pelancong, iaitu peningkatan sebanyak 21.0 peratus pada empat bulan pertama tahun ini.
Menurut Tourism Malaysia, kebanyakan pelancong yang melawat Malaysia pada Januari hingga April tahun ini berasal dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia dan United Kingdom.
Turut hadir ialah Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar; Pengurus Kanan Lapangan Terbang KKIA, Encik Jefry Ramli dan Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah, Encik Bobby Alex @ William.