Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Wacana Menelusuri Kebitaraan Melayu–Islam melalui Kearifan Tempatan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), menjadi platform intelektual dalam usaha mengangkat citra dan naratif keunggulan dunia Melayu–Islam yang terbina hasil jalinan hubungan sejarah dan kesusasteraan di rantau Nusantara.

Program wacana yang diadakan bersempena dengan Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu–Islam itu telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai yang mewakili Ketua Pengarah DBP di Auditorium MKIM, pagi tadi.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara DBP dengan MKIM merupakan manifestasi keseriusan kedua-dua institusi berkenaan dalam mengangkat elemen sejarah dan pustaka dunia Islam serta kesannya kepada Alam Melayu.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai ketika menyampaikan ucapannya yang mewakili Ketua Pengarah DBP.

Beliau menegaskan bahawa perkembangan agama Islam, bahasa, kesusasteraan, seni dan budaya yang lahir daripada hal tersebut menjadi paksi yang penting dalam pembinaan negara bangsa Malaysia dan gagasan Malaysia MADANI.

Dalam ucapannya, beliau berkata wacana tersebut turut menjadi medan perkongsian ilmu yang menumpukan pembentukan dunia Melayu–Islam berdasarkan pengalaman serta penelitian DBP dalam kegiatan pembangunan, pengembangan dan penerbitan berkaitan kesan hubungan Melayu–Islam.

“DBP sebagai badan keramat yang bertanggungjawab membina, mengembangkan dan menerbitkan bahan berkaitan bahasa dan kesusasteraan, meliputi pustaka dan sejarah dunia Islam dan Alam Melayu, akan terus menyokong usaha memperkasakan lagi wacana seumpama ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa penampilan para panel dalam wacana ini membuka dimensi perbincangan baharu yang signifikan dalam rantau tersebut, seterusnya memberikan impak kepada Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam yang sedang berlangsung.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan MKIM, khususnya YBhg. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary atas kepercayaan dan ruang kerjasama yang diberikan kepada pihak DBP.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Eksekutif Kanan MKIM, YBrs. Encik Zalhazmi Mohd Safian dalam ucapan alu-aluannya berkata pameran yang berlangsung hingga 15 Jun ini mengetengahkan naratif visual tentang kedudukan strategik dunia Melayu sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Pegawai Pendidikan Eksekutif Kanan MKIM, YBrs. Encik Zalhazmi Mohd Safian ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Kota-kota pelabuhan sebagai lokasi persinggahan utama para pedagang menanti peralihan angin monsun telah membentuk metropolis maritim yang menjadi medan penyebaran Islam dan mengubah landskap budaya masyarakat secara menyeluruh.

Tambah beliau lagi, seni dan estetika dunia Melayu mengalami transformasi yang ketara, menzahirkan pengaruh Islam dan mencerminkan pegangan spiritual masyarakat, sama ada pada peringkat individu mahupun kolektif.

“Besarlah harapan saya agar program kolaborasi seperti ini dapat diteruskan agar kedua-dua organisasi ini, iaitu DBP–MKIM menjalinkan kerjasama erat dalam menyebarluaskan program keilmuan dan perkongsian yang dapat mendidik generasi muda serta meningkatkan taraf ilmu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Wacana Menelusuri Kebitaraan Melayu–Islam melalui Kearifan Tempatan menampilkan tiga orang panel, iaitu YBhg. Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBrs. Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid dan Kurator MKIM, YBrs. Puan Siti Marina Mohd Maidin, yang masing-masing berkongsi tentang kepengarangan dan kesusasteraan, kearifan tempatan serta latar belakang pameran.

Turut hadir memeriahkan program wacana tersebut ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa hashim; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor serta karyawan DBP dan MKIM.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi