Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usai berkongsi ilmu dalam Wacana Menelusuri Kebitaraan Melayu -Islam melalui Kearifan Tempatan bersempena dengan Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam, Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh telah berpeluang melawat pameran yang diadakan tersebut.
SN Muhammad Haji Salleh diberi taklimat oleh Kurator, Siti Marina Mohd Maidin berkaitan artifak yang dipamerkan dan beliau amat tertarik dengan koleksi manuskrip Hang Tuah, salinan milik Frank Swettenhem.

Selain itu, koleksi lain yang menarik perhatian beliau antaranya termasuklah gantang milik Sultan Brunei yang digunakan sebagai tempat menyimpan cukai atau zakat. Gantang tersebut diperbuat daripada gangsa.
Pegawai Pendidikan Eksekutif Kanan, Encik Zalhazmi Mohd Safian turut mengiringi SN Muhammad Haji Salleh sewaktu melawat pameran tersebut.
Terdahulu, SN Muhammad Haji Salleh telah diundang berkongsi ilmu dalam program anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dalam perkongsian tersebut, beliau berkongsi kehebatan Hang Tuah dalam pelbagai aspek. Menurut beliau, Hang Tuah seorang manusia yang bersifat antarabangsa, pandai bertutur dalam pelbagai bahasa seperti Cina, Jawa, Portugis dan Arab.
Hang Tuah juga menjadi wakil negara, iaitu Kesultanan Melayu Melaka yang pada ketika itu merupakan empayar yang besar.

Untuk rekod, Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam akan berakhir pada 15 Jun 2025.
Pengunjung yang berminat boleh melihat pameran yang diadakan dengan harga tiket RM20 untuk pelawat dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dan pelajar.
Selain itu, kedai buku MKIM juga menawarkan buku bertemakan penerbitan dunia Islam dari pelbagai negara. Malah, buku pameran Oceans That Speak turut dijual.

Untuk maklumat lanjut pameran dan kedai buku MKIM, boleh menghubungi di talian 03-20927070.