Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Malam Gala Filem Martabat: Misi Berdarah di GSC Mid Valley Megamall pada 10 Jun 2025, mencatat sejarah baharu dunia perfileman tempatan.
Filem yang dipersembahkan oleh Act 2 Pictures, GSC Cinemas dan Astro Shaw, serta diedarkan oleh GSC Movies ini bukan sahaja mencuri perhatian kerana dibintangi oleh para pelakon hebat, tetapi juga disebabkan oleh kelainan naskhah yang mengangkat pelakon tambahan sebagai teraju utama.
Filem ini merupakan penampilan sulung pelakon prolifik Zahiril Adzim sebagai pengarah yang bergandingan bersama-sama dengan pengarah tersohor, Adrian Teh (Paskal The Movie – 2018, Wira (2019), Pasal Kaul (2020), The Assistant (2022), MALBATT: Misi Bakara (2023), serta Gold dan Reversi (2024). .
Gabungan Zahiril dan Adrian memperkenalkan genre baharu, iaitu filem tambahan yang mengetengahkan kisah di sebalik dunia pelakon latar, suatu sisi industri yang jarang-jarang disorot.

Martabat: Misi Berdarah (dianggap sebagai parodi kepada MALBATT: Misi Bakara) mencipta rekod sebagai filem Melayu Malaysia pertama yang menghimpunkan barisan pelakon paling banyak.
Selain Zahiril yang memegang watak Nafiez, filem ini juga dibintangi oleh Fad Bocey (Iedil), Shiqin Kamal (Azza), Nafiez Zaidi (Fad), Elvina Chua (Emma) dan Amerul Affendi (Bro Safwan).
Turut membintangi dan menghadiri malam gala tersebut ialah pelakon watak sampingan seperti Emma Maembong (Elvina), Nelissa Nizam (Shiqin), Dafi Ismail Sabri (Handy Dafi), Tony Eusoff (Stunt Brader Namron), Michael Ang (Fabian Pengarah Filem), Anas Ridzuan (Tony Penolong Pengarah Filem), Iedil Dzuhrie Alaudin (Amerul), Theebaan G. (Jurusolek Mak Henley), Safwan Nazri (Prop Bob), Fabian Loo (Prop Theeban), Namron (Pak Anas) dan Henley Hii (Michael).
Sementara itu, Beto Kusyairy, Azhan Rani, Syarif Zero, Soffi Jikan dan Fauzi Nawawi membuat penampilan khas dalam filem ini.
Gabungan 18 orang pelakon bersama-sama dengan lima orang cameo ini menjanjikan hiburan luar biasa yang jarang disatukan dalam sebuah naskhah.
Padat dengan unsur aksi, komedi dan sindiran sosial, Martabat: Misi Berdarah bukan sekadar tontonan menghiburkan, malah membawa mesej mendalam tentang perjuangan, maruah dan nilai insan di sebalik tabir industri seni.
Filem berdurasi selama 119 minit ini diklasifikasikan sebagai kategori P13, dan sesuai ditonton oleh seisi keluarga dengan bimbingan ibu bapa. Tayangan umumnya di pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Jun 2025.