Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 20:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia dengan kerjasama ibis Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menganjurkan Festival Makanan dan Budaya Sarawak bersempena dengan sambutan Pesta Gawai Dayak sebagai antara usaha mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menurut Tourism Malaysia, majlis pelancaran festival yang diadakan pada 10 Jun lalu menandakan permulaan program selama dua minggu yang bermula dari 8 Jun hingga 22 Jun ini.

“Festival ini mengetengahkan pelbagai sajian tradisional dari Sarawak seperti laksa Sarawak; Manok Pansoh, iaitu ayam dimasak di dalam buluh; Nuba Laya, iaitu beras liar di dalam daun isif; umai dan kek lapis,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, festival berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan penari tempatan bagi mempamerkan kepelbagaian warisan budaya masyarakat Borneo.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dalam kenyataan sama berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha pihaknya membawa elemen budaya dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan sebaliknya bagi memperkukuh lagi promosi kempen menjelang TMM2026.

“Festival ini bukan sahaja mempromosikan makanan dan budaya, malah turut mempererat hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan latar belakang,” tambah beliau.

Pelbagai sajian tradisional Sarawak diketengahkan dalam Festival Makanan dan Budaya Sarawak.

Tourism Malaysia berkata, Pesta Gawai Dayak yang diraikan 1 Jun dan 2 Jun setiap tahun merupakan perayaan penting bagi masyarakat Dayak di Sarawak dan disambut bagi menandakan berakhirnya musim menuai.

Katanya, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tahun 2023, dan melepasi paras prapandemik 2019 sebanyak 8.3 peratus.

Tambahnya, hasil resit pelancongan turut meningkat kepada RM106.78 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 43.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tempoh Januari 2025 hingga April 2025 pula, katanya, ketibaan pelancong mencecah 13.4 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 21.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jelasnya, Singapura kekal sebagai pasaran utama diikuti Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia dan United Kingdom.

Turut hadir dalam majlis pelancaran festival ialah Pengarah Eksekutif Goldstone Holdings Berhad, Chen Yang yang mewakili ibis KLCC; Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris; dan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul Adawiyah Mohd Yusof.

Kredit Foto: Tourism Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi