Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Festival Budaya Antarabangsa “UNIQUE” anjuran Universiti Malaya (UM) berjaya menarik perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti yang menarik.
Aktiviti seperti “Mosaic of Cultures” menampilkan persembahan kebudayaan yang memukau dan menyerlahkan sisi kekayaan warisan seni dari pelbagai negara
Begitu juga dengan “Cultural Unity Night”, iaitu malam kemuncak persembahan budaya yang mempamerkan bakat-bakat mahasiswa UM dari pelbagai latar belakang.
Aktiviti tersebut menyerlahkan bakat mahasiswa dengan tarian, nyanyian dan drama yang dipersembahkan menjadikan malam yang penuh kegembiraan dan warna-warni.
Tidak ketinggalan, pencinta muzik jalanan turut dihiburkan dengan “Busking Night.” Suasana santai dengan alunan muzik yang dipersembahkan oleh bakat tempatan ini menambahkan lagi kemeriahan festival.
Terdahulu, festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Jun 2025 di Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi (KK10), diadakan penuh warna-warni dan mengujakan
Dengan tema “Uniquely United, Kesatuan dalam Kepelbagaian”, festival ini benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti UM dan juga para pengunjung luar.
Daripada gerai makanan yang menawarkan pelbagai juadah makanan yang menggiurkan sehinggalah persembahan kebudayaan yang memukau, UNIQUE menawarkan sesuatu untuk pengunjung yang hadir.
Festival UNIQUE ini bukan sahaja sekadar hiburan, tetapi juga merupakan platform penting untuk memupuk kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya. Dalam dunia yang semakin berhubung, acara sebegini dapat memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat melalui seni, muzik dan makanan.
Rakan strategik seperti Theme Park, Goodmorning, Neosun dan Lubukbaju, telah berjaya mencipta sebuah acara yang meninggalkan kesan positif kepada semua pengunjung yang hadir.