Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Budaya membaca dan berfikir mesti dihidupkan semula di mana institusi keilmuan seperti perpustakaan, sekolah dan universiti harus menjadi nadi kepada keagungan tamadun negara. 

Demikian menurut Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum merasmikan Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur,  semalam. 

Beliau berkata bahawa perpustakaan tidak dibina sebagai monumen megah, namun harus menjadi ruang hidup untuk pencarian dan penggalian ilmu.

“Tokoh-tokoh besar seperti pemikir dan pujangga, semuanya berpengkalan di perpustakaan. Oleh itu, perhimpunan ini tentunya punyai tugas yang besar, terutama sebagai peringatan kepada pustakawan bahawa ada sesuatu peranan utama yang bukan sekadar menghimpunkan gedung buku dan memperindahkan dengan almari kaca, tetapi untuk menjadikannya sebagai suatu medan dan wahana yang penting bagi memupuk kesedaran dan menggalakkan minat membaca”

“Perpustakaan boleh mengekalkan suasana keheningan rohaniah (monastic silence), namun turut berkembang dengan zaman dengan menjadikannya tempat mencabar idea, membandingkan pengalaman dan memperkuat antara satu sama lain dalam menempuh era yang kompleks dan penuh tribulasi,” ujarnya.

Jelas beliau, sejarah menunjukkan betapa setiap peradaban agung berdiri atas dasar ilmu. “Dari Perpustakaan Agung Alexandria ke Baitul Hikmah di Baghdad, telah lahir para pujangga dan pemikir yang mewariskan kebijaksanaan leluhur”

“Namun begitu, budaya membaca semakin pudar. Dunia semakin terbenam dalam budaya memburu reaksi pantas, di mana pandangan terbentuk hanya menerusi dua baris ayat,” tambah beliau. 

Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai sesuatu yang  membimbangkan kerana perkembangan sebegini membudayakan kejahilan dan menjadikan perbahasan awam semakin runcing, dipenuhi kebencian, tipu muslihat dan kekeliruan tanpa asas ilmu.

Selain itu, YAB Dato’ Seri Anwar turut mengungkapkan bahawa peranan pustakawan begitu besar dalam mencapai matlamat untuk membina tamadun negara. “Saya kenang peranan tokoh pustakawan seperti Beda Lim di Universiti Malaya dan Rohani Rustam di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bukan sekadar penyusun koleksi, tetapi penggerak minat membaca dan pemudah cara ilmu.”

Oleh itu, langkah kerajaan memberi insentif tunai kepada pelajar dan guru untuk membeli buku serta memperluas perpustakaan digital hanyalah permulaan. Langkah yang lebih utama, menurut beliau, ialah menghidupkan semula perpustakaan sebagai ruang yang berjiwa dan tempat manusia mencari makna.

“Anak-anak kita perlu diyakinkan bahawa kita mewarisi tamadun hebat, dari Angkor Wat ke Borobudur hinggalah Kesultanan Melayu Melaka. Perpustakaan harus menjadi jambatan kepada keyakinan ini, dan pustakawan merupakan penjaga amanahnya.”

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Menteri Perpaduan, YB Datuk Aaron Ago anak Dagang; Timbalan Menteri Perpaduan, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha Negara, YB Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, YB Datuk Haji Ruji Haji Ubi.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi