Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Penulis skrip pementasan teater Terusir, iaitu Aissah Zulaikha dan Duya Izaidi berjaya mencungkil bakat mahasiswa seperti Zaim dan Zira yang melakonkan watak Zainuddin dan Hayati.
Zaim membawakan watak Zainuddin dengan begitu berkesan apabila dapat menyampaikan dialog dengan jelas dan penuh emosi. Bahkan, beliau juga mempelihatkan keupayaannya sebagai seorang pelakon teater yang berbakat dengan menguasai perwatakan Zainuddin dengan cemerlang.
Lakonan mereka dicungkil apabila Kelab Teater Warna, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan pementasan teater berjudul Terusir di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni, baru-baru ini.
Teater tersebut mengisahkan percintaan sejati antara Zainuddin dan Hayati, namun cinta mereka terhalang dek kedudukan dan adat yang didukung susur galur Hayati. Hayati telah berkahwin dengan pilihan keluarga, Aziz dan membawa kepada episod penderitaan dalam hidup Zainuddin yang begitu menaruh cinta dan kesetiaan terhadap Hayati.
Teater Terusir merupakan gerak kerja adaptasi daripada karya tersohor Hamka yang berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Penulis skrip memaparkan sisi Zainuddin yang akhirnya bangkit dari kesengsaraan percintaan yang tidak menyatukan mereka dengan menjadi seorang penulis.
Segala perjalanan kenangan percintaan yang dilalui Zainuddin, diabadikan dalam novel tulisannya. Setelah sekian lama berkahwin dengan Aziz, perkahwinan mereka diduga dengan masalah kewangan dek sikap Aziz yang sering berfoya-foya.
Zainuddin tidak lokek untuk membantu Aziz dan Hayati dengan menumpangkan mereka di rumahnya. Walau bagaimanapun, Aziz dilaporkan membunuh diri ketika berusaha mendapatkan pekerjaan, manakala Hayati menemui ajal ketika menjadi salah seorang penumpang kapal Van Der Wijck yang dilaporkan tenggelam di lautan.
