Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Melaka bakal menjadi tumpuan para pencinta seni dan budaya apabila negeri itu akan mengadakan acara berprestij Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka (RBAM) 2025 dari 2 Julai 2025 hingga 6 Julai 2025.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad berkata, penganjuran RBAM 2025 yang penuh warna-warni itu akan berlangsung di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Menurut Nasrul Ahmad, penganjuran RBAM 2025 itu juga sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM), prapeluncuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Hari Warisan Melaka Bersejarah UNESCO yang bukan sekadar sebuah acara, malah simbol keunggulan seni budaya warisan negara.

Jelas beliau, RBAM 2025 akan menampilkan keindahan irama dan gerak tari tradisional seperti zapin, inang dan joget yang bukan hanya dari Malaysia, malah turut melibatkan penyertaan antarabangsa.

“Acara ini turut menampilkan dua segmen utama, iaitu Showcase Antarabangsa dan Colours of Rentak Bertandak Malaysia yang menyaksikan pelibatan kumpulan seni daripada 14 buah negeri dan 12 buah negara termasuklah Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, India dan Sri Lanka. Gabungan budaya serantau ini menjanjikan persembahan yang mengasyikkan dan mempesona.

“Antara acara sampingan yang turut diadakan termasuklah Kolokium Citrawangsa Seni Budaya, Pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka (5 – 6 Julai), Pertandingan Zapin Antarabangsa (3 – 5 Julai), Bicara Keunikan Busana Antarabangsa (3 Julai) dan World Tourism Explorace 2025 (3 Julai),” katanya.

Nasrul berkata, dianggarkan lebih 50,000 orang pengunjung bakal membanjiri tapak acara sepanjang empat hari penganjuran yang akan membuktikan RBAM bukan sekadar festival seni, malah medan ilmu dan interaksi budaya.

“Detik paling dinantikan ialah acara Kemuncak RBAM 2025 pada 4 Julai yang bakal menyaksikan pentas berprestij dihiasi persembahan daripada barisan artis terkenal tanah air seperti M Nasir, Siti Nordiana, Haziq Rosebi, Asmidar dan Yasser Fikri.

“Penganjuran program bertaraf antarabangsa seperti RBAM ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negeri menerusi sektor pelancongan, dan impaknya bukan hanya dari sudut ekonomi, malah dari aspek pengukuhan jati diri budaya tempatan.

“Penganjuran RBAM bukan sekadar hiburan, bahkan usaha memperkenalkan seni warisan kepada generasi muda, serta mengeratkan hubungan serantau melalui budaya yang dikongsi,” ujarnya.

Jelas Nasrul, dengan sasaran 16.5 juta pelancong, RBAM 2025 menjadi antara inisiatif utama untuk menarik pelancong ke Melaka dan memberikan peluang kepada para penggiat seni untuk berinteraksi, berkongsi ilmu dan memperluas jaringan serumpun, menjadikannya platform penting dalam dunia kesenian rantau Asia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi