Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) baru-baru ini telah melancarkan Kick Off Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM).
Menurut KPN, program IPIM memfokuskan pelibatan aktif pelajar dan guru dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) sejarah melalui pendekatan yang lebih interaktif menggunakan koleksi dan artifak muzium.
“Guru diberi ruang untuk melaksanakan PdP di muzium, manakala pelajar diberi peluang berbentuk pendedahan langsung terhadap bahan maujud yang memperkukuh pemahaman mereka dalam mata pelajaran Sejarah,” katanya dalam satu kenyataan.
KPN berkata, sejak cadangan awal pada tahun 2014 dan projek rintis pada tahun 2015, IPIM telah berkembang dengan pelaksanaan secara atas talian sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Tambahnya, pada tahun 2024, sejumlah 21 buah sekolah dengan 714 orang pelajar dan 117 orang guru telah menyertai IPIM secara fizikal di 19 buah muzium Persekutuan.
Pada tahun 2025, program ini melibatkan 41 buah muzium di seluruh Malaysia dengan pelibatan lebih 1680 orang pelajar dan 164 orang guru dari murid tahun empat hingga tingkatan enam serta siswa Institut Pendidikan Guru.
“Program IPIM dijalankan melalui lima sesi utama bermula dengan taklimat daripada kurator muzium, PdP oleh guru, lawatan ke galeri berpandu, sesi pengukuhan dan refleksi yang berlangsung selama dua jam hingga empat jam mengikut saiz muzium,” maklumnya.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami di Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Terengganu.

Menurut beliau, program ini secara jelas membuktikan komitmen KPN dan semua muzium yang terlibat untuk terus memperkasakan fungsi dan peranan institusi muzium di negara ini setaraf dengan praktis muzium lain di dunia yang menjadikan muzium sebagai platform pendidikan tidak formal.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohd Iskandar Muhammad Aziz.