Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 08:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Membakut – Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara, Sabah kali ke-13 bakal membuka tirainya secara rasmi pada 3 Julai 2025 (Rabu) di Dewan Seri Wawasan, Kampung Pimping.

Program yang diadakan selama tiga hari tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif.

Antara program yang  diadakan sepanjang tiga hari program, termasuklah Program Bicara Tokoh, Perkampungan Khat Sedunia dan Forum Perdana Ehwal Islam.

Seterusnya perbincangan tentang Nadwah Sastera Islam Serantau Islam Sabah, Pertandingan Khat Spontan, serta pertandingan Beduk, Selawat, Marhaban, Kompang dan Nasyid.

Pada hari terakhir pula akan diadakan Liga Bahasa dan Sastera Kecerdasan Buatan (LIBAI), Temasya Berbalas Pantun Berunsur Islam, dan Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah.

Terdahulu, penganjuran Mahrajan merupakan inisiatif tahunan yang menghimpunkan pelbagai elemen keilmuan, persuratan serta kesenian Islam dalam konteks rantau Nusantara.

Usaha ini dilihat sebagai medium pemerkasaan budaya dan sastera Islam yang mencakupi aspek intelektual, rohani dan estetika melalui pelibatan masyarakat pelbagai lapisan.

Mahrajan dianjurkan dengan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dan pertubuhan, antaranya Kerajaan Negeri Sabah melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-tugas Khas), Pejabat Daerah Membakut dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPP) Membakut.

Malah, DBP Cawangan Sabah turut terlibat bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia Sabah (ABIM).

Orang ramai di sekitar Kota Kinabalu dan zon Selatan Sabah, iaitu daerah Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Keningau dan Papar diundang hadir memeriahkan Mahrajan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh warisan intelektual dan kesenian Islam di Sabah dan rantau Nusantara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi