Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Sebuah pameran tentang kehidupan dan perjuangan golongan nelayan negara sedang berlangsung di Muzium Petaling Jaya (MPJ), Taman Jaya.
Walaupun dalam skala kecil, tetapi pameran anjuran MPJ tersebut padat dengan paparan kira-kira 24 bahan menarik yang terdiri daripada peralatan atau bahan harian yang diperlukan oleh nelayan, patung nelayan lelaki dan wanita, maklumat tentang nelayan dan perikanan negara secara bercetak atau berbingkai, dan tayangan video yang relevan.
Bahan yang dipamerkan terdiri daripada replika bot nelayan Malaysia, perahu layar, perahu nelayan Sarawak, perahu nelayan Cina, tangkul ketam, bakul anyaman, beg galas, serkup ikan, jaring ikan, pelampung jaring, batu ladung, mata kail, mata kail bercabang, bubu jantung, bubu duduk, tali, tali tangsi, batang pancing, tombak serampang, lampu minyak tanah, kotak ke laut, parang, pisau belati, dan juga cacing tanah.
Antara bahan pameran yang dipamerkan di pameran Jaring Kehidupan di Muzium Petaling Jaya (MPJ), Taman Jaya.
Perahu layar antara ciptaan nelayan pada waktu dahulu, yang memudahkan para nelayan pergi dan pulang ke kawasan yang lebih jauh. Layar juga membantu nelayan mengemudi perahu mereka dengan tepat dan mudah.
Sementara itu, perahu nelayan Cina dicipta bagi menggantikan rakit buluh yang digunakan sejak zaman dahulu. Reka bentuknya yang unik digunakan dengan meluas, terutamanya oleh nelayan sungai.
Pameran Jaring Kehidupan dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat dan cuti umum dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang tanpa bayaran masuk.