Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMembakut – Majlis Penangguhan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Sabah ke-14 telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping pada Sabtu lalu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program tersebut merupakan sebuah platform signifikan untuk mempromosikan dan memperkaya khazanah budaya seni Islam, khususnya di negeri Sabah.
“Program ini merupakan platform yang baik bagi melestarikan seni Islam dalam kalangan masyarakat dan generasi muda,” katanya.
“Kita juga berharap pelaksanaan mahrajan ini bukan sahaja diadakan pada peringkat Nusantara, malah diperluas ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), YBrs. Ustaz Awang Juri Awang Tahir yang mewakili Pengarah JHEAINS dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan harapan agar objektif penganjuran program tersebut dapat direalisasikan demi memartabatkan khazanah seni budaya Islam supaya terus lestari dan tidak lenyap ditelan zaman.
“Kita berharap agar khazanah seni budaya Islam terus dipergiatkan dengan pelibatan para belia dari sekolah bagi mencungkil dan mengasah bakat dalam bidang kesenian budaya Islam seperti pertandingan khat, pantun, nasyid, kompang dan marhaban,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Shah meraih gelaran johan bagi Temasya Berbalas Pantun Berunsur Islam bagi kategori sekolah menengah dengan membawa pulang wang tunai RM1,500.00 berserta sijil penghargaan, diikuti dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran sebagai naib johan (RM1,000.00), serta SMKA Mohamad Ali Ranau di tempat ketiga (RM700.00).

Selain itu, kategori umum pula menyaksikan pasukan Kemala dinobatkan sebagai johan dengan hadiah wang tunai RM3,000.00, diikuti pasukan Shahnon Ahmad yang meraih naib johan (RM2,000.00) dan pasukan Said Nursi di tempat ketiga (RM1,000.00).
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada agensi penganjur sebagai tanda penghargaan serta persembahan nasyid yang menutup tirai program berkenaan.
Turut hadir ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, YBrs. Puan Jennitah Nordin, pegawai kanan kerjaaan dan para pelajar.