Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Muhammad Danial Afham Zailan
Muar – Program Desa Lestari Gamelan 2025 telah berjaya menjadi platform pendidikan budaya yang memupuk jati diri anak muda melalui seni warisan gamelan Nusantara di Keraton Mbah Anang, Kampung Parit Bugis, baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor dengan sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar dan mendapat kerjasama strategik dari kumpulan Gamelan Nadasukma UIAM Pagoh.
Pengarah JKKN Johor, Tuan Abdul Rashid Abdullah telah menyempurnakan majlis penutup dan dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pembelajaran gamelan bukan sekadar mempelajari aspek muzik semata-mata, tetapi merupakan satu proses pembinaan nilai dan karakter dalam diri peserta.
Memandangkan muzik gamelan ini dimainkan secara berkumpulan, murid-murid bukan sahaja belajar tentang muzik tetapi sebenarnya sedang belajar tentang kesatuan, semangat berpasukan dan fokus terhadap lagu yang dimainkan
Turut hadir ialah wakil rasmi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar serta Guru Besar SK Parit No. 5, menjadikan majlis ini suatu pengiktirafan besar terhadap usaha komuniti dalam mendidik melalui seni budaya.
Kemuncak majlis menampilkan persembahan oleh murid Sekolah Kebangsaa Parit No. 5 yang membawakan lagu-lagu rakyat Jawa Malaysia seperti Re Kabare dan lagu rakyat Jawa Indonesia seperti Suwe Ora Jamu dan Gugur Gunung.
15 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Parit No. 5 telah menyertai program ini melalui 12 sesi latihan mingguan di Keraton Mbah Anang.
Mereka didedahkan kepada pembelajaran ilmu karawitan (permainan gamelan Jawa) dan ilmu tembang (nyanyian tradisional Jawa) dalam suasana kondusif dan beridentitikan seni muzik Melayu-Jawa.
Silibus program disusun khas oleh Pak Dwiono Hermantoro, seorang Adiguru Gamelan dan Komposer dari Indonesia,manakala kelas dan latihan dibantu oleh ahli Gamelan Nadasukma UIAM Pagoh yang berperanan membimbing murid-murid sekolah dengan silibus yang telah disediakan.

Program tersebut turut dibantu oleh dua orang guru yang berpengalaman seperti Pak Jamal Bakir dari UIAM Gombak (tenaga pengajar gamelan) dan Ibuk Lasmi dari Indonesia Community Centre (ICC) Muar (guru sinden/tembang).
Menurut En. Johar Paimin, pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis, program ini menjadi pencetus atau landasan kepada penganjuran Festival Gamelan Nusantara 2026 yang dirancang akan menghimpunkan kumpulan-kumpulan gamelan dari Malaysia dan Indonesia.
Beliau menyifatkan inisiatif ini sebagai satu permulaan penting dalam mengangkat kampung sebagai tapak pembinaan tamadun budaya leluhur bangsa.
Gamelan Jawa merupakan warisan agung yang berasal dari zaman kerajaan Majapahit di pulau Jawa. Lebih daripada sekadar hiburan, gamelan adalah alat pendidikan dan penyatuan ukhwah komuniti setempat.
Di Johor, seni karawitan (gamelan jawa) ini masih bernyawa dalam kalangan segelintir penggiat keturunan Jawa yang mengekalkan adat, bahasa dan budaya nenek moyang mereka. Program seperti Desa Lestari Gamelan membuktikan bahawa warisan leluhur boleh diajar, difahami dan dihayati semula kepada generasi muda.