Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang diadakan di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Simposium anjuran Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Tekstil Negara ini diadakan pada 9 Julai 2025 hingga 10 Julai 2025 yang merupakan salah satu program di bawah tonggak sosiobudaya ASEAN bersempena dengan Kepengerusian ASEAN.
Simposium ini membawa tema utama “Kelestarian Tekstil: Tradisi Menuju Transformasi” yang memberikan fokus terhadap kelestarian tekstil dari perspektif tradisi, inovasi dan masa depan.
Dalam ucapan alu-aluan, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa muzium memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembelajaran, dialog dan penciptaan bersama dalam masyarakat.
Beliau turut menyeru agar kerjasama serantau dipertingkatkan melalui penyelidikan tekstil, pembangunan kapasiti, penjenamaan warisan, serta pencalonan bersama produk budaya seperti kejayaan negara bersama-sama dengan lima buah negara ASEAN yang mencalonkan kebaya sebagai warisan budaya tidak ketara di bawah UNESCO.
“Tekstil bukan sekadar hasil seni, malah pembawa naratif peradaban, identiti dan hubungan antara komuniti. Dalam dunia yang serba moden, pemeliharaan tradisi mesti seiring dengan inovasi. Kita tidak hanya mahu tradisi kekal dan terus hidup secara bermakna,” ujar beliau.
Sebanyak 300 orang peserta yang terdiri daripada kalangan institusi permuziuman, ahli akademik, penyelidik, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, profesional dan penggiat seni tekstil dari dalam dan luar negara menghadiri simposium ini, manakala 12 orang pembentang terdiri daripada profesional, pakar akademik, pembuat dasar dan artisan dari seluruh negara ASEAN dijadualkan membentangkan hasil dapatan mereka sepanjang dua hari program.
Simposium ini bukan sahaja memperkukuh diplomasi budaya ASEAN, malah menjadi pemangkin kepada wacana tekstil serantau yang inklusif dan berdaya tahan. Simposium ini juga dijangka memberikan impak jangka panjang dalam usaha membina ekosistem ASEAN yang mampan; berakar pada warisan, berkembang melalui inovasi dan berpandangan ke hadapan.