Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selaras dengan aspirasi pendigitalan negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) hari ini telah melancarkan Portal Digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di The Glass House, Bangsar, petang tadi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff, berkata bahawa pelancaran portal ini seiring dengan matlamat kerajaan untuk memacu transformasi digital sektor budaya negara.
“Pelancaran Portal Digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada hari ini merupakan satu inisiatif strategik yang bukan sahaja berfungsi sebagai pangkalan data seni dan budaya, malah menjadi platform interaktif yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat dengan warisan negara merentasi kementerian dan jabatan seperti Jabatan Muzium Negara dan Kementerian Perpaduan”
“Portal ini membolehkan masyarakat mengakses maklumat berkualiti secara lebih terangkum, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, sekali gus mengangkat seni budaya Malaysia ke persada global,” ujar YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff dalam ucapan perasmiannya.

Tambah beliau, Portal Digital JKKN yang dibangunkan secara komprehensif ini terdiri daripada dua buah komponen utama, iaitu Portal Pemetaan Budaya dan Portal Rumah Seni JKKN, yang dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat, penyelidik, penggiat seni serta pihak industri untuk mendapatkan akses lebih mudah kepada maklumat, bahan rujukan direktori produk dan perkhidmatan mengikut kategori serta program industri seni budaya.
Untuk makluman, Portal Pemetaan Budaya telah dibangunkan sejak tahun 2015 sebagai pangkalan data bersepadu yang menghimpunkan pelbagai kandungan berkaitan seni, budaya dan warisan Malaysia.
Melalui platform ini, pengguna boleh mengakses koleksi artikel ilmiah, gambar dokumentasi, video persembahan serta maklumat etnografi secara percuma.
Sehingga kini, portal ini telah mencatatkan lebih 4.74 juta pelayaran sejak mula diwujudkan, dengan 60 879 orang pelayar pada tahun 2024 dan 24 114 orang pelayar setakat pertengahan 2025. Jumlah ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia semakin menghargai sumber digital sebagai medium pembelajaran dan rujukan seni budaya.
Antara kandungan yang menjadi tumpuan dalam Portal Pemetaan Budaya termasuklah 535 artikel yang merangkumi pelbagai tema seperti adat resam, permainan tradisional, seni persembahan, pakaian tradisional, seni pertahankan diri dan amalan budaya masyarakat pelbagai kaum.
Selain itu, portal ini turut memuatkan 2683 keping foto pegun yang mendokumentasikan kepelbagaian warisan visual serta 194 video persembahan seni yang memberi peluang kepada khalayak untuk menikmati seni tempatan secara maya.
Sebelum mengakhiri ucapannya, YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff sekali lagi menjelaskan bahawa inisiatif dilihat sebagai langkah proaktif bagi mendepani cabaran era digital, termasuk perubahan pola tingkah laku masyarakat yang lebih cenderung kepada kandungan dalam talian serta keperluan mendesak untuk memelihara khazanah budaya dalam bentuk digital yang lestari.
Turut hadir di dalam majlis adalah Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, YBrs. Encik Mohd Radzi Omar; Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), YBhg. Tan Sri Norliza Rofli dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.