Diterbitkan pada 16 Julai 2025, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Kuantan 188 yang akan berlangsung pada 25–27 Julai nanti dijangka lebih meriah dengan pelbagai aktiviti keluarga yang mencerminkan budaya dan komuniti negeri Pahang.

Demikian menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah, YBhg. Dato’ Sri Omar Naresh Mohan ketika mengumumkan penganjuran Pesta Kuantan 188 2025 dalam sidang media di Ramada Suits by Wyndham Kuala Lumpur City Centre baru-baru ini.

Pihak beliau menjangkakan terdapat lebih 60,000 tarikan pengunjung pada tahun ini.

“Mercu Menara ikonik Kuantan 188 sekali lagi akan menjadi tumpuan, bersempena dengan sambutan hari keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.”

“Pesta Kuantan 188 2025 bakal menjadi sambutan terhebat dan terbesar setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai festival bandar utama di Pahang,” jelas beliau.

Tambah Omar, Pesta Kuantan 188 2025 turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kerajaan Negeri Pahang, Pelancongan Pahang serta Kementerian Belia dan Sukan.

“Pada tahun ini, Pesta Kuantan 188 buat kali pertama memperkenalkan K188 Towerthon, iaitu peserta perlu mendaki 524 anak tangga ke puncak menara kedua tertinggi di Malaysia.”

“Acara ini diiktiraf secara rasmi oleh Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA), dan turut disertai Soh Wai Ching, juara larian menara antarabangsa,” ujar beliau.

Tambah Omar, sepanjang tiga hari sambutan pesta yang penuh aksi,  peminat aktiviti lasak boleh menyaksikan Kejohanan Powerboat F3000 Diraja Pahang, apabila jentera berkuasa tinggi beraksi di Sungai Kuantan.

Selain itu, aksi terjunan BASE oleh penerjun tempatan dan antarabangsa dari puncak menara Kuantan 188 menjadi salah satu tarikan yang pastinya akan memukau pengunjung.

Acara Regatta Perahu Naga Diraja Pahang 2025 akan diadakan pada 25 Julai 2025 dengan kerjasama MBK, dengan menampilkan 12 buah pasukan untuk kategori Terbuka Pahang dan 12 buah pasukan kategori Tertutup Pahang.

Antara tarikan pada tahun ini juga, para hadirin berpeluang menaiki paramotor dari Padang MBK 1 untuk menikmati pemandangan bandar Kuantan dari ruang udara.

Maklumat terkini tentang acara tersebut boleh didapati di Instagram, Facebook dan TikTok dan boleh menghubungi Pengurus Marcom melalui nombor telefon 017300 0423 atau e-mel [email protected], dan Pengurus Besar Pemasaran Kumpulan melalui nombor telefon 012480 9557 atau e-mel [email protected].

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi