Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabuan – Festival Flora Borneo @ Labuan 2025 akan kembali memeriahkan pulau bebas cukai dengan menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat semua pengunjung.
Festival yang dinanti-nantikan ini akan diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dari 26 hingga 30 Julai 2025, dan yang paling menggembirakan, masuk adalah percuma untuk semua lapisan masyarakat!
Pada tahun ini, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan memukau pelbagai jenis flora dan fauna yang unik dan jarang ditemui dari kepulauan Borneo, malah turut berpeluang untuk melihat sendiri bunga Rafflesia yang megah dengan saiznya yang luar biasa, keindahan orkid-orkid liar yang berwarna-warni, serta keunikan periuk kera dengan pelbagai bentuk dan saiz.
Bukan itu sahaja, festival ini turut membawa keindahan hidupan marin ke daratan. Para pengunjung boleh menyaksikan pameran yang menampilkan ikan badut yang comel berenang di antara replika terumbu karang yang berwarna-warni, membawa suasana bawah laut yang tenang dan mempesonakan.
Perkara ini menjanjikan festival tersebut lebih daripada sekadar pameran bunga, tetapi satu perayaan biodiversiti Borneo secara menyeluruh.
Dengan seruan “Bah… ramai-ramai kita”, pihak penganjur mengalu-alukan kedatangan seluruh rakyat Malaysia, terutamanya penduduk dari Labuan dan Sabah, untuk datang beramai-ramai memeriahkan festival ini.
Festival ini juga merupakan antara satu wadah penting untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar kita untuk generasi akan datang.
Disokong penuh oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Perbadanan Labuan, festival ini menunjukkan komitmen serius negara dalam mempromosikan pelancongan lestari dan pendidikan alam sekitar.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini! Tandakan kalendar anda dalam beberapa hari ini dan jadikan Festival Flora Borneo @ Labuan 2025 sebagai destinasi wajib yang perlu anda kunjungi.
