Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Anak – Anak Malik karya terakhir penulis Sepanyol tersohor, Federico García Lorca, bakal dipentaskan oleh TAS Seni Teater dan TAS Foundation di Kuala Lumpur mulai Khamis ini.

Teater tersebut hasil adaptasi oleh Yusof Bakar akan mula dipersembahkan pada 24 Julai di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Menariknya, pementasan in mengetengahkan barisan pelakon lelaki sepenuhnya, antaranya Aidil Rosli, Ammar Aqsya, Aniq Syahmi, Asraf Zulk, Danish Zakwan, Mark Beau De Silva, SaifulWazien, Sudhan Nair, Sunio Rushairi dan Ubai Talib.

Teater yang diarahkan oleh Christopher Ling, merupakan naskhah yang diadaptasi daripada La Casa de Bernarda Alba atau  Rumah Bernarda Alba, iaitu karya terakhir penyair dan penulis teater terkenal Sepanyol, Federico García Lorca yang ditulis sebelum tercetusnya Perang Saudara Sepanyol.

Teater ini berpusat pada watak seorang ibu tunggal bernama Bernarda yang mengawal  kehidupan lima orang anak perempuannya dengan ketat dan memaksa mereka menjalani tempoh berkabung selama lapan tahun selepas kematian suami keduanya.

Berdasarkan kisah benar yang diambil daripada kehidupan jiran penulis, rumah tersebut kini telah dijadikan sebuah muzium.  Karya ini terus dihargai dan diadaptasi ke dalam bentuk filem dan drama TV.

Skrip itu juga telah diolah menjadi teater muzikal oleh Michael John LaChiusa yang diarahkan oleh Christopher Ling untuk KLPAC pada tahun 2010.

Kini, 15 tahun kemudian, Ling kembali menghidupkan karya ini dengan barisan pelakon lelaki sepenuhnya dalam versi tempatan oleh Yusof Bakar yang berlatarkan sebuah kampung nelayan terpencil pada tahun 1970-an.

Anak-Anak Malik menceritakan kisah seorang bapa bernama Malik mengarahkan kelima-lima anak lelakinya untuk berkabung selama 100 hari selepas kematian isterinya, tanpa dibenarkan keluar dari rumah.

Namun begitu, tekanan dan penentangan mula tercetus lalu membawa kepada satu kesudahan yang tragis.

“Teater ini mengangkat tema kepatuhan, penindasan dan kebebasan dan dipentaskan  dalam Bahasa Melayu dengan sari kata Bahasa Inggeris.  Petikan slogan naskhah ini berbunyi  Patuh atau derhaka, kedua-duanya mengundang derita,” kata Christopher Ling dalam mesej WhatsApp kepada penulis.

Jadual pementasan teater ini adalah seperti berikut:

  • 24 dan 25 Julai: 8 malam
  • 26 Julai: 3 petang dan 8 malam
  • 27 Julai: 3 petang (diikuti sesi bicara selepas pementasan)

Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.cloudjoi.com/shows/3486-anak-anak-malik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi