Diterbitkan pada 24 Julai 2025, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dunia seni lukisan dikejutkan dengan berita sedih pemergian seorang pelukis terkenal tanah air, Ismail Kadir yang telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung, semalam.

Allahyarham Ismail yang juga, Yang Dipertua Persatuan Seni Lukis Kelantan (Peseni) berusia 73 tahun dilapor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, kira-kira pukul 2 petang pada hari tersebut selepas menerima rawatan sejak Mei lalu.

Bekas Yang Dipertua Peseni, Muhammad Jusoh menyifatkan, pemergian tokoh seni lukisan kelahiran Kelantan yang disegani itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia seni lukisan tanah air.

“Arwah merupakan satu daripada lima pelukis terbaik Asia yang diiktiraf oleh majalah The Plein Air, iaitu sebuah majalah seni terkenal Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Pengiktirafan antarabangsa itu merupakan kemuncak kepada kariernya sepanjang pelibatan arwah dalam bidang seni lukis yang mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya memetik satu laporan berita.

Ismail dilahirkan pada tahun 1952 merupakan graduan seni dari Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan kerjaya sebagai guru sebelum meninggalkan profesion tersebut untuk menjadi pelukis sepenuh masa.

Beliau bukan sahaja veteran, malahan antara garda depan yang tersohor dalam perkembangan dunia seni lukis Kelantan.

Arwah sering juga hadir pada majlis berkaitan sastera misalnya program bulanan Deklamasi Puisi GEMA, Kota Bharu sebagai sokongan moral kepada rakan kesenian.

Arwah Ismail dianugerahkan Penghargaan Karyawan Kelantan kerana menerajui Peseni sebagai Yang Dipertua sejak tahun 2017.

Karya lukisannya pernah dipamerkan dalam pelbagai acara peringkat tempatan dan nasional selama lebih 20 tahun dan turut serta dalam pameran antarabangsa termasuk di China, United Kingdom, India, Taiwan, Singapura, Brunei, Turki, Indonesia, Thailand dan Itali.

Malah, arwah pernah diberi penghormatan untuk mengendalikan bengkel berkaitan selain dipilih sebagai juri pertandingan seni lukisan di peringkat antarabangsa.

Jenazah Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Rambai, Kota Bharu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi