Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Peminat filem klasik dan sejarah sinema serantau berpeluang menyaksikan tayangan eksklusif filem Indonesia Pagar Kawat Berduri (1961) arahan tokoh filem tersohor Asrul Sani, dalam slot bulanan Wayang Budiman di premis Gerak Budaya, esok.
Filem Pagar Kawat Berduri berlatarkan Revolusi Nasional Indonesia dan diadaptasi daripada cerpen karya Trisnoyuwono.
Meskipun dihasilkan pada tahun 1961, filem itu pernah berdepan sekatan pengedaran dan tayangan umum sewaktu ditayangkan di pawagam pada tahun 1963.
Untuk tayangan kali ini, filem tersebut akan dipersembahkan dalam versi yang telah direstorasi secara digital dan disertakan sarikata bahasa Inggeris.
Asrul Sani merupakan satu daripada seorang tokoh penting dalam dunia kesusasteraan dan perfileman Indonesia pascakemerdekaan selain Usmar Ismail dan Djadoeg Djayakusuma.
Beliau yang juga dikenali sebagai penulis, penyair dan intelektual, pernah menerbitkan antologi puisi Tiga Menguak Takdir bersama Chairil Anwar dan Rivai Apin.
Dalam bidang pengarahan, beliau terkenal dengan karya seperti Apa Yang Kau Cari, Palupi? (1969), Salah Asuhan (1972), Bulan di Atas Kuburan (1973), dan Di Bawah Lindungan Ka’bah (1977) yang diadaptasi daripada novel karya Hamka.
Asrul juga merupakan penulis lakon layar bagi beberapa filem berpengaruh seperti Lewat Djam Malam (1954) dan Nagabonar (1987).
Program tayangan ini merupakan sebahagian daripada usaha Gerak Budaya memartabatkan filem klasik serantau dan membuka ruang diskusi kritikal berkaitan sejarah, budaya dan politik menerusi medium sinema.
