Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malam pertama pementasan teater Tingginya Menyapu Awan pada 25 Julai 2025 menyaksikan sambutan hangat daripada khalayak yang hadir, sekali gus membuka tirainya dengan penuh kesan emosi.
Naskhah arahan Dr. Marlenny Deenerwan ini mengajak penonton menyelami pelbagai isu kemanusiaan yang sarat dengan nilai empati dan keinsafan.
Penonton dibawa menyusuri nasib masyarakat daif dan terpinggir yang digambarkan secara jujur dan menyentuh dalam skrip tulisan Malina Manja atau Bidin Subari.
Teater ini bukan sahaja memperlihatkan kekuatan mesej sosial, malah menghidupkan kembali karya klasik yang pernah menerima Hadiah Karya Sastera 1975 (Kategori Drama).
Sejak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1978, karya ini terus mengekalkan tempatnya sebagai naskhah penting dalam sejarah teater tanah air.
Menurut penerbit dan pengarah teater berpengalaman luas, Puan Siti Rohayah Atan, teater Tingginya Menyapu Awan merupakan karya yang berkualiti tinggi, ringkas namun memberikan kesan terhadap penonton yang menyaksikan pementasannya.
“Drama sebabak yang ada kelas! Sudah lama saya tidak menonton teater sebegini,” ujarnya.
Ringkas, tetapi meroket ke awan.
Tambah beliau, “Teater tersebut menggambarkan kritikan sosial yang berlangsung zaman-berzaman; masih relevan pada tahun 2025 ini.”
Pementasan teater Tingginya Menyapu Awan yang berlangsung di Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP, Pertubuhan Rumpun Mekar Seni Budaya, dan Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi, Universiti Malaya.
Teater ini pernah dipentaskan pada tahun 1975, tahun 2003 dan tahun 2013.
Gabungan skrip yang kuat, pengarahan yang berpengalaman serta lakonan berkesan menjadikan malam pertama pementasan ini cukup berkesan dalam menyentuh hati penonton.
Meraikan kehebatan naskhah separuh abad ini dengan pementasan teater bertenaga malam tadi ialah YBhg. Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP; Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP mewakili Ketua Pengarah DBP; YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN; Encik Ramlan Mohd Imam, Pengarah Korporat, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mewakili Rektor ASWARA; Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi, Pengarah JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan; serta pegawai JKKN dan DBP.
Pementasan teater Tingginya Menyapu Awan akan diteruskan selama dua malam lagi pada 26 Julai dan 27 Julai 2025.