Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 26 Julai 2025, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Naskhah Tingginya Menyapu Awan, karya klasik Malina Manja yang pernah memenangi Hadiah Sastera Drama pada tahun 1975, kembali mengisi pentas di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Julai hingga 27 Julai 2025.

Teater arahan Dr. Marlenny Deenerwan ini diterbitkan oleh Mekar Budaya dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mempersembahkan nafas baharu kepada naskhah yang sarat dengan nilai falsafah, persoalan kemanusiaan dan pencarian makna kewujudan.

Ketika ditemu bual oleh Dewan Budaya, Dr. Marlenny berkongsi cabaran dan pendekatan kreatif yang diambil dalam menterjemah naskhah bertulis kepada persembahan pentas kontemporari.

Jelas beliau,

Saya tidak banyak mengolah dari segi isi naskhah asal. Hanya melakukan pemotongan untuk memadatkan jalan cerita agar sesuai dengan durasi pementasan. Asalnya, skrip ini boleh mencecah dua jam jika dibaca penuh, maka saya mampatkan dan ubah latar zamannya daripada tahun 1975 kepada era masa kini supaya lebih dekat dengan penonton moden.

Latihan intensif dijalankan selama sebulan bermula pada Jun lalu, melibatkan barisan pelakon yang mempunyai latihan formal dalam bidang teater.

“Saya pilih pelakon yang benar-benar ada kefahaman mendalam dalam dunia teater, kerana naskhah ini berat dan memerlukan keupayaan menganalisis serta menginterpretasi skrip secara mendalam.

“Mereka bukan saja cepat tangkap, malah boleh memberikan ‘nyawa’ pada setiap watak yang dimainkan,” tambahnya.

Walaupun menghadapi kekangan masa, proses latihan berjalan lancar hasil kerjasama erat pasukan produksi dan sokongan teknikal yang kukuh.

“Latihan sangat intensif apabila para pelakon cuma diberi satu hari rehat sepanjang sebulan latihan.

“Akan tetapi, kesungguhan dan profesionalisme pasukan sangat membantu dalam pementasan teater ini,” ujar beliau.

“JKKN turut banyak menyokong dari segi logistik, manakala Mekar Budaya menyediakan sinografer, penerbit dan pengurus produksi yang berpengalaman,” tambah beliau.

Naskhah Tingginya Menyapu Awan menjadi pilihan pementasan kerana keistimewaannya yang merentasi sempadan zaman dan masyarakat.

Ujar beliau lagi,

Malina Manja ialah penulis realisme. Sebelum ini, karyanya lebih tertumpu pada isu masyarakat Melayu, tetapi naskhah ini melangkaui batasan itu dengan mengangkat persoalan kewujudan manusia dan hubungan dengan Tuhan.

Karya ini bukan lagi membahaskan isu etnik, malah persoalan universal yang dekat dengan semua manusia.

Katanya lagi, panel Hadiah Sastera turut mengiktiraf naskhah ini sebagai karya terbaik beliau dalam tempoh 10 tahun pengkaryaan.

Walaupun ditulis pada 50 tahun lalu, isu yang diketengahkan masih kekal relevan hingga hari ini.

“Hal ini menunjukkan betapa mendalam dan malar segarnya karya ini,” katanya.

Beliau menyeru khalayak agar datang menonton persembahan teater ini sebagai suatu bentuk refleksi terhadap perubahan atau ketidakberubahan masyarakat.

Karya seperti ini membantu kita merenung sama ada masyarakat telah berubah ataupun tidak sejak 50 tahun lalu, atau masih terkepung dalam isu sosial yang sama?

Tambah Dr. Marlenney, teater ini bukan sekadar hiburan, malah ruang untuk menilai perjalanan bangsa dan keinsanan.

Pementasan Tingginya Menyapu Awan yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut membawa penonton menyelusuri naratif eksistensial dan mempersoalkan kewujudan manusia yang sebenar-benarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi