Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan agar Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Malaysia diwujudkan bagi mengintegrasikan input daripada semua muzium pada peringkat persekutuan, negeri, institusi dan swasta melalui suatu sistem digital terpusat.

Menurut KPN, cadangan tersebut diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, ketika merasmikan Majlis Penutup Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2025, semalam.

Beliau berkata, rekod koleksi artifak kini diurus dan disimpan secara berasingan menyebabkan kerajaan tiada gambaran menyeluruh tentang jumlah sebenar artifak, dan khazanah warisan negara yang berada dalam simpanan muzium di Malaysia.

“Pangkalan data ini diperlukan bagi memastikan pemeliharaan warisan negara lebih tersusun serta membolehkan inventori koleksi diselaraskan dan dikemas kini secara berkala di samping menyokong usaha pendigitalan warisan,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN.

Sebagai rekod, katanya, Malaysia memiliki lebih 232 buah muzium di seluruh negara merangkumi 22 buah muzium persekutuan di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), 63 buah muzium agensi atau institusi, 103 buah muzium negeri dan wilayah serta 44 buah muzium swasta.

 

KPN berkata, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang program ini seperti tayangan montaj sepanjang festival, persembahan khas dan penyampaian hadiah bagi pertandingan sukan, piala pusingan serta reruai pameran terbaik.

Tambahnya, Anugerah Khas Permuziuman juga disampaikan kepada institusi dan individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang permuziuman.

Katanya, majlis penutup semalam turut menyaksikan penyerahan rasmi bendera FHMAPK Yayasan Warisan Johor sebagai simbolik tuan rumah bagi penganjuran FHMAPK pada tahun 2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi