Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTuaran – Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025, bakal berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran, bermula pada 7 hingga 10 Ogos 2025.
Bertemakan “Budaya Tradisi, Teras Perpaduan Malaysia MADANI”, festival selama empat hari ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang meraikan kekayaan warisan budaya Rumpun Bajausama.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk memelihara dan mempromosikan tradisi yang menjadi tonggak kepada perpaduan dalam masyarakat Malaysia Madani.
Festival ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat, dengan pelbagai program yang dirancang dari seawal bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari. Hari pertama, Khamis, 7 Ogos, program akan dimulakan dengan Bengkel Ratu Serimpak di Galeri Seni, memberikan peluang kepada pengunjung untuk mendalami seni mahkota tradisional ini.
Pengunjung juga boleh meluangkan masa di perkarangan Pusat Kebudayaan untuk Pameran dan Jualan Produk Kraftangan, serta Jualan, Demonstrasi dan Pameran Citarasa Warisan@Sabah yang akan mempamerkan produk-produk tempatan yang unik.
Selain itu, aktiviti Perkongsian Ilmu bertajuk ‘Mari Dengari’ akan diadakan di dewan tertutup pada 4.00 petang, di mana para peserta dapat mempelajari tentang makanan-makanan tradisi yang semakin dilupakan. Malam kemuncak akan ditutup dengan Pertandingan Bintang Soromas Peringkat Akhir di pentas terbuka.
Pada hari kedua, Jumaat, 8 Ogos, festival ini akan diteruskan dengan Pelancaran Ratu Serimpak. Pengunjung juga berpeluang menyertai Aktiviti Bengkel Belajar Bermain Muzik Tradisi Bajausama di dewan tertutup.
Untuk peminat fotografi, Pertandingan Fotografi Digital Makanan (POV) bertajuk ‘Klip-Klip Cantik’ akan menjadi platform untuk mempamerkan kreativiti para peserta. Sesi
Perkongsian Ilmu ‘Mari Dengari’ akan kembali dengan dua tajuk menarik, iaitu mengenai Makanan Warisan untuk Kesihatan & Kecantikan serta Falsafah & Simbolik Makanan-Makanan Sabah. Selain itu, pengunjung boleh menyaksikan Persembahan Kebudayaan yang memukau. Pertandingan Ratu Serimpak akan melengkapkan program pada malam tersebut.
Aktiviti pada hari ketiga, Sabtu, 9 Ogos, akan menampilkan Pertandingan Cita Rasa Warisan Ratu Serimpak. Bagi kanak-kanak dan keluarga, Pertandingan Peragaan Busana Tradisi Kanak-Kanak akan menjadi acara yang tidak boleh dilepaskan pada 8.00 malam. Pengunjung juga dijemput untuk menyertai Aktiviti Bengkel Belajar Menari Tarian Tradisi di dewan tertutup. Sementara itu, Pertandingan Betitik Peringkat Akhir akan menjadi salah satu acara kemuncak pada hari tersebut.
Hari terakhir festival, Ahad, 10 Ogos, akan dimulakan dengan Acara Perasmian ‘Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025’. Acara ini akan diteruskan dengan Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Digital Makanan Warisan (POV). Peringkat akhir bagi Pertandingan Citarasa Warisan Selebriti: Masak Bersama Chef juga akan berlangsung, di mana pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan oleh para chef-chef selebriti.
Sepanjang festival, Pameran dan Jualan Produk Kraftangan serta Pameran Citarasa Warisan@Sabah akan sentiasa diadakan, menawarkan peluang untuk membeli cenderamata dan produk tempatan yang unik. Aktiviti lain seperti Sukan Rakyat (Tradisi) dan kuiz interaktif akan memeriahkan suasana, memastikan setiap pengunjung pulang dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Dengan lokasi yang di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, festival ini bukan sahaja meraikan warisan budaya, malah juga berfungsi sebagai platform penting untuk memupuk semangat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan komuniti-komuniti tempatan. Selaras dengan tema ‘Budaya Tradisi, Teras Perpaduan Malaysia Madani’, festival ini mempelawa semua lapisan masyarakat untuk hadir dan menjadi sebahagian daripada perayaan yang sarat dengan ilmu, seni, dan budaya.