Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rencana terbitan majalah Dewan Budaya, iaitu “Matematik di Sebalik Tarian Zapin” telah berjaya memenangi Hadiah Sanjungan Kategori Rencana Popular dalam Anugerah Persatuan Sains dan Matematik Malaysia (PERSAMA) 2025, baru-baru ini.
Rencana tersebut merupakan hasil garapan Pensyarah Fakulti Pendidikan Sains dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya. Dr. Abdul Halim Abdullah.
Dalam artikel tersebut, beliau telah menulis pendekatan unik dalam meneroka unsur matematik dan budaya tradisional, sekali gus berjaya mengangkat matematik sebagai ilmu yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.

Ketika ditemui oleh wartawan JendelaDBP, Dr. Abdul Halim menjelaskan bahawa pengiktirafan tersebut menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkarya dan berkongsi ilmu kepada masyarakat.
“Ilmu tidak seharusnya terkurung dalam jurnal akademik semata-mata. Tanggungjawab kita sebagai ilmuwan adalah menjadikan ilmu boleh difahami dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Kejayaan makalah bertajuk “Matematik di Sebalik Tarian Zapin” ini menunjukkan perkaitan antara matematik dengan budaya kita. Budaya Malaysia tanpa mengira bangsa perlu diketengahkan untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang.
Dalam konteks kajian ini, budaya dikaitkan dengan matematik, atau lebih dikenali sebagai etnomatematik. Malah, kejayaan ini pastinya akan meningkatkan motivasi dan semangat penulis untuk terus berkarya, khususnya dalam memperjuangkan warisan budaya dengan matematik.
“Sementelah Matematik merupakan mata pelajaran yang digeruni oleh murid-murid, melalui etnomatematik ini boleh menjadi satu daripada pendekatan alternatif untuk menarik minat murid terhadap Matematik,” jelas beliau sebelum mengakhiri ucapannya.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kali ketiga berturut-turut bagi Dr. Abdul Halim dalam kategori yang sama, membuktikan konsistensi dan komitmen beliau dalam memperkasakan literasi matematik dalam kalangan pembaca umum.
Selain itu, buku hasil kerjasama beliau bersama-sama dua mantan pelajar sarjana, Kelly Suhaily dan Zuraini Marion turut menerima pengiktirafan dalam kategori Buku Karya Asli. Buku tersebut diterbitkan oleh UTM Press dan merupakan hasil penyelidikan yang disokong oleh Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Kementerian Pendidikan Malaysia.
Anugerah PERSAMA merupakan acara tahunan yang menghimpunkan para pendidik, penyelidik dan penulis dalam bidang Sains Matematik dari seluruh negara bagi meraikan kecemerlangan dalam penyebaran ilmu dan inovasi pendidikan.
