Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Kesedaran Royalti Seni Visual telah menampilkan beberapa pemain industri seperti Alfa Booty Kesuma, Amerudin Ahmad dan Mohamad Rahimi Arafpin di Auditorium Balai Seni Negara (BSN), baru-baru ini.
Memulakan forum, Alfa Booty juga Ahli Lembaga Pengarah Recording Perfomance Malaysia Berhad (RPM), menegaskan semua persatuan muzik tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

“Kerajaan sentiasa berubah, apatah lagi kalau kerap bertukar ganti. Rancangan dan dasar tidak sempat mencapai sasaran kerana pertukaran menteri yang berkenaan. Oleh itu, persatuan perlu berusaha dan bergerak sendiri,” ujarnya sambil menjelaskan RPM adalah badan pengurusan kolektif mewakili pelaku rakaman (artis rakaman dan pemuzik).
Alfa turut menyebut objektif RPM, iaitu mengawasi kepentingan artis rakaman, pemuzik, mengutip dan mentadbir royalti persembahan awam, penyiaran serta komunikasi kepada orang awam.
Malah, tugas RPM juga untuk menyebarkan maklumat dalam kalangan artis rakaman dan pemuzik mengenai perkara yang mengeksploitasi mereka.
“Kesemuanya cuba dicapai menerusi peranan RPM seperti menerima mandat daripada ahli, mendapatkan kelulusan keahlian daripada Ahli Lembaga Pengarah RPM, mengeluarkan lesen kepada pengguna muzik, menolak kos pentadbiran dan mengagihkan kutipan royalti kepada ahli. Sehingga 30 Jun 2025, keahlian RPM mencecah 3366 orang dengan 68 peratus merupakan pelaku utama dan selebihnya pelaku latar,” ujarnya.
Seratus peratus royalti yang dikutip berdasarkan pulangan penggunaan rakaman bunyi yang berkaitan. Jumlah bersih yang dibahagikan adalah 65 peratus untuk pelaku utama, iaitu penyanyi dan 35 peratus untuk pelaku latar atau komposer.
Jelas Alfa, syarat menganggotai RPM mestilah artis rakaman atau pemuzik yang ada sekurang-kurangnya satu rakaman bunyi yang dikeluarkan secara komersial, warganegara Malaysia atau pemastautin tetap di Malaysia dan mendapat mandat serta pengisytiharan ahli mesti ditandatangani dan diterima oleh RPM (kelulusan menjadi ahli adalah mengikut budi bicara Ahli Lembaga Pengarah).
Selain itu, beliau menyebut soal jaringan perjanjian dua hala, serta menjelaskan soal perlindungan yang ditadbir menerusi Seksyen 16B Akta Hakcipta Malaysia 1987.
“Saraan Saksama”, iaitu hak persembahan kepada awam, hak penyiaran secara langsung kepada awam dan hak penyampaian lain kepada awam.
Seterusnya, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerudin Ahmad menegaskan persoalan royalti artis (pelukis, pencatan, pengarca dan pengukir) mula diberikan perhatian serius angkara wabak pandemik COVID-19.

“Ramai pelukis yang mengambil upah melukis potret di rumah pelanggan. Akibat perintah kawalan pergerakan, mereka kehilangan pendapatan. Jadi, fungsi Balai Seni Negara (BSN) diluaskan untuk membantu mereka dalam hal royalti,” jelas beliau.
Selain itu, tambah Amerudin, BSN mengambil pendekatan jangka pendek dan jangka panjang seperti skim pinjaman jangka panjang dan turut menganjurkan pelbagai pertandingan.
“Dalam hal pertandingan, karya artis yang menang tidak terus menjadi hak milik BSN. Namun begitu, artis boleh menawarkan kepada BSN. Jika sesuai, BSN akan membeli karya tersebut. Jadi, artis boleh mendapat dua manfaat, iaitu wang kemenangan dan wang penjualan,” ujar beliau.
Terakhir, Mohamad Rahimi, Penolong Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjawab kekeliruan tanggapan terhadap MyIPO. Katanya, MyIPO tiada kuasa mengawal royalti.
“MyIPO hanya bertanggungjawab bagi pengurusan dan pembangunan sistem harta intelek di Malaysia.Harta intelek merangkumi buku, lukisan, arca, ukiran, dan muzik. Namun demikian, berbanding buku kesusasteran”, kata Rahimi, artis lukisan dan seumpama dengannya kurang kesedaran mengenai harta intelek kerana kurang dorongan.
Di samping mengulas sedikit sebanyak apa yang dilontarkan oleh ahli-ahli panel dan memberikan contoh Akta Hak Royalti Jualan Semula untuk Artis Visual 2009 di Australia, Dr. Ishak yang bertindak sebagai moderator turut menyebut tentang implikasi kepada pemasaran seni.

“Pertama, menyentuh pemasaran yang telus. Dari segi percukaian, karya seni telah mula dikenakan cukai. Tekanan cukai ini memerlukan langkah proaktif untuk dialihkan ke royalti menerusi pengecualian cukai,” katanya.
Mengenai implikasi kepada seniman, Ishak menyatakannya sebagai perjuangan seniman seni visual. Katanya, adalah keadilan ekonomi untuk seniman, di mana royalti jualan semula membantu seniman visual mendapatkan bahagian yang adil dari nilai yang dicipta oleh karya seni mereka di pasaran kedua, yang sering jauh lebih tinggi daripada harga jualan asal.
“Selain itu, memberikan ganjaran ekonomi yang berterusan kepada seniman sepanjang hayat karya mereka, mengatasi isu di mana seniman tidak mendapat manfaat setelah karya dijual kepada pengumpul, atau galeri,” katanya lagi.
Terdahulu, forum tersebut diadakan bersempena dengan penganjuran Bakat Muda Sezaman (BMS) 29, anjuran BSN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.