Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menerima penghargaan atas usahanya mengurangkan kerenah birokrasi, khususnya dalam proses kelulusan kenderaan pelancongan.

Melalui satu inisiatif penambahbaikan, tempoh untuk mendapatkan surat kelulusan bersyarat bagi kenderaan pelancongan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya dipendekkan secara mendadak.

Sebelum ini, syarikat pelancongan perlu menunggu sehingga lima hari untuk mendapatkan kelulusan tersebut. Namun begitu, hasil daripada projek di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), proses yang sama kini hanya mengambil masa sehari sahaja.

Perubahan ini amat membantu para pengusaha pelancongan untuk menyediakan kenderaan dengan lebih pantas, terutamanya semasa musim puncak atau musim cuti sekolah dan secara langsung meningkatkan kecekapan operasi syarikat masing-masing.

Kejayaan ini mendapat pengiktirafan apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Setiausaha MOTAC. Langkah ini menunjukkan komitmen serius MOTAC dalam menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan perubahan di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.

Menurut MOTAC, kejayaan projek ini merupakan bukti dedikasi kementerian dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti. Usaha sebegini selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk memajukan negara dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan penggiat industri, malah menyumbang kepada daya saing negara dalam industri pelancongan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi