Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penulisan sejarah negara dan Asia perlu mencerminkan realiti yang berasaskan naratif tempatan agar tidak didominasi oleh pihak yang menang atau pandangan Barat semata-mata.
Menurut Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sejarah Malaysia sebagaimana sejarah negara lain yang pernah menjadi jajahan kolonial telah banyak ditulis menerusi kaca mata British atau Barat.
Jelas beliau, hal itu turut merangkumi penulisan akademik Edward Said mengenai orientalisme yang dipengaruhi oleh perspektif tersebut terhadap disiplin ilmu sejarah, budaya dan masyarakat secara keseluruhan.
“Dalam usaha menulis semula sejarah, kita juga cuba memahami bahawa kemodenan dunia Melayu bukan bermula selepas penjajahan British,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pameran Legasi Tipu Sultan dan Haider Ali, Pemerintah Mysore di Muzium Kesenian Islam pada Selasa.
“Seorang daripada sarjana kita, Syed Hussein Alatas, menekankan betapa pentingnya sejarah dikaji semula kerana sejarah tidak boleh ditulis hanya oleh pihak yang menang atau berdasarkan pandangan penjajah,” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan bahawa pameran berkenaan sebagai usaha memperkenalkan sejarah negara India dan dunia Islam, selain mengetengahkan perjuangan menentang penjajahan British.
“Jika kita memahami sejarah India, kita akan melihat sumbangan besar para pemerintahnya dalam usaha memajukan keilmuan, pembelajaran dan toleransi,” jelasnya.
“Muzium Kesenian Islam Malaysia kini menganjurkan pameran paling menyeluruh yang pernah diadakan di mana-mana tempat sebagai penghormatan kepada wira ini dan ayahandanya.
Mengulas lanjut mengenai tokoh yang diketengahkan, beliau berkata Tipu Sultan merupakan pemerintah Islam terawal yang menyantuni rakyat majoriti beragama Hindu dengan menziarahi Kuil Guruvayur yang berusia lebih 2,000 tahun serta memberikan penghormatan kepada para Swamiji dan pendeta.
“Tindakan ini bukan perkara biasa.
“Hanya pemimpin yang bijaksana dan bertoleransi tinggi sanggup melakukannya demi menghormati rakyatnya,” ujarnya.
Tambah beliau, tokoh itu juga ialah seorang pemimpin yang memahami kepentingan menguasai teknologi persenjataan dan meriam sehingga mengejutkan penjajah British dalam pertempuran awal.
Anwar turut mengakui bahawa kehebatan pemimpin Kesultanan Mysore itu yang menjalani kehidupan sangat sederhana.
Kesederhanaan Tipu Sultan menjadikan beliau seorang pemimpin negara yang tidak bertolak ansur dengan penjajahan, pejuang kemerdekaan yang gigih, sultan yang cintakan ilmu menerusi koleksi bukunya.
“Tipu Sultan juga menunjukkan kebijaksanaan diplomatiknya tatkala mengurus hubungan dengan para feudalis, sultan, umat Islam dan Hindu di India serta usahanya menjalinkan diplomasi antarabangsa, khususnya meyakinkan Perancis untuk menyokong perjuangannya menentang British,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar mencadangkan agar drama sejarah The Sword of Tipu Sultan karya Akbar Khan diterjemahkan serta disiarkan dalam televisyen Malaysia dengan keizinan penerbit sebagai usaha pendidikan sejarah.
Pada masa yang sama, beliau mengajak rakyat Malaysia mengambil peluang daripada penganjuran pameran tersebut untuk memahami sejarah India dan Islam, ilmu pengetahuan, teknologi dan sikap toleransi melalui ketokohan Tipu Sultan.
Sementara itu, Pameran Legasi Tipu Sultan dan Haider Ali, Pemerintah Mysore berlangsung setiap hari bermula hari ini hingga 11 Januari 2026 di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia.