Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuadzam Shah – Bersempena dengan Hari Sambutan Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025, Kerajaan Negeri Pahang mengorak langkah dalam memperkukuh pendidikan terhadap masyarakat Orang Asli dengan mengumumkan pemberian komputer riba secara automatik kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), bermula pada tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bahawa inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda memperkasakan pendidikan digital yang diselaraskan oleh Yayasan Pahang, dengan matlamat merapatkan jurang kemudahan pembelajaran antara pelajar bandar dengan luar bandar, terutamanya dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Mulai tahun ini, tidak perlu lagi mengisi borang atau melalui proses permohonan yang kadangkala memakan masa. Kerajaan Negeri akan menyerahkan komputer riba secara terus kepada semua pelajar Orang Asli yang diterima masuk ke IPTA. Ini merupakan hadiah penghargaan atas kejayaan mereka dan sokongan untuk menghadapi cabaran pembelajaran pada era digital,” katanya.

Menurut beliau, pemberian komputer riba ini bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan akses kepada bahan pembelajaran, malah memastikan pelajar Orang Asli mampu bersaing dalam bidang akademik yang kini semakin bergantung kepada teknologi maklumat dan komunikasi.
Selain itu, beliau turut memuji Yayasan Pahang yang telah melaksanakan pelbagai program bantuan pendidikan seperti biasiswa, elaun sara hidup, program tuisyen dan kelas bimbingan khas untuk pelajar Orang Asli.
Usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat tersebut meningkat secara konsisten sejak lima tahun kebelakangan ini.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperluas akses pendidikan kepada masyarakat Orang Asli dengan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu penyediaan kemudahan pembelajaran moden, pengukuhan motivasi dan sokongan moral kepada pelajar, serta jaminan peluang pendidikan yang saksama pada semua peringkat.
“Kerajaan negeri percaya bahawa pendidikan merupakan kunci untuk memecahkan kitaran kemiskinan. Apabila anak-anak Orang Asli berjaya dalam pendidikan, mereka bukan sahaja mengubah masa hadapan diri sendiri, malah membawa perubahan kepada keluarga dan komuniti mereka,” ujarnya.
Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 yang diadakan di Padang RPS Bukit Serok pada hari ini turut menyaksikan penyampaian simbolik komputer riba kepada beberapa pelajar Orang Asli yang baru diterima masuk ke universiti sebagai pelancaran rasmi inisiatif tersebut.
