Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuadzam Shah – Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa komitmen yang berterusan oleh kerajaan negeri akan diberikan kepada masyarakat Orang Asli agar kaum tersebut terus diberikan pengiktirafan dan peluang yang adil dalam arus pembangunan negeri.
Beliau berkata bahawa prinsip tersebut menggambarkan kesamarataan, saling menghormati dan semangat perpaduan antara semua kaum di negeri Pahang.
“Pembangunan negeri tidak akan lengkap tanpa penyertaan masyarakat Orang Asli. Mereka bukan sekadar pewaris khazanah alam dan budaya, tetapi juga aset penting dalam menjayakan agenda kemajuan Pahang,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Padang RPS Bukit Serok, Muadzam Shah, Pahang semalam.

Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri telah merangka pelbagai program khusus untuk masyarakat Orang Asli yang meliputi bidang pendidikan, ekonomi, kesihatan, kebajikan dan infrastruktur asas.
Antaranya termasuklah pembinaan sekolah baharu di kawasan pedalaman, pemberian bantuan keusahawanan, program latihan kemahiran, serta penambahbaikan kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik di perkampungan Orang Asli.
Menurut beliau, program ini dirangka bukan sahaja untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat Orang Asli, malah untuk memastikan mereka juga mempunyai peluang yang sama dalam mengejar kemajuan seperti masyarakat lain di negeri ini.
“Kerajaan negeri mahu memastikan tiada komuniti yang tertinggal di belakang. Masyarakat Orang Asli berhak berdiri setaraf dan menikmati hasil pembangunan negeri Pahang,” jelasnya.
Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 turut menjadi platform untuk mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh masyarakat Orang Asli yang cemerlang dalam bidang pendidikan, seni budaya, sukan dan kepimpinan akar umbi.
Acara tersebut diakhiri dengan persembahan kebudayaan tradisional seperti tarian sewang, pameran hasil kraf tangan, dan demonstrasi adat istiadat yang menjadi simbol kekayaan warisan masyarakat Orang Asli.

