Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuadzam Shah – Suasana di Padang RPS Bukit Serok bukan sahaja meriah dengan persembahan kebudayaan dan pameran sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2025, malah turut diserikan dengan kehadiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tampil menyerahkan sumbangan buku dan majalah di bawah Inisiatif Belanjawan 2025 kepada Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbolik penyerahan kepada perpustakaan dan pihak sekolah di Pahang termasuklah sekolah Orang Asli.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari Edin mewakili Ketua Pengarah DBP sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan taraf pendidikan, literasi dan pembangunan sosial masyarakat Orang Asli, sejajar dengan komitmen DBP dalam memperluas penggunaan bahasa kebangsaan dan membantu meningkatkan budaya membaca menerusi pembacaan bahan bacaan berkualiti dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, dalam majlis tersebut pihak DBP turut meraikan pelancaran majalah Dewan Budaya Bil. 08/2025 yang menampilkan fokus wawancara bersama-sama dengan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang memperkatakan tentang agenda pemerkasaan komuniti Orang Asli.
Pihak DBP berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) yang menjadikan majalah Dewan Budaya sebagai sumber bahan bacaan dan dokumentasi dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu perlu terus diperkasakan sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut YAB Dato Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, masyarakat Orang Asli merupakan sebahagian daripada warisan kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia.
“Secara keseluruhannya, populasi masyarakat Orang Asli di negeri Pahang merupakan populasi yang paling tinggi, boleh dikatakan bahawa kesemua 11 buah daerah di Pahang terdapat masyarakat Orang Asli dan Kerajaan Negeri Pahang amat mengambil berat tentang pembangunan komuniti ini.”
Oleh itu, sejak dahulu lagi Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha merangka dasar dan inisiatif untuk mengangkat martabat mereka agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain.
Pada setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang khusus dalam setiap belanjawan tahunan untuk komuniti Orang Asli. Sebagai contoh, pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM20 juta dalam pelbagai bentuk inisiatif seperti pendidikan, perumahan, sosial, ekonomi, infrastruktur, pelancongan dan sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia.

Dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap literasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Antara program yang diperkenalkan termasuklah Program Baca Cepat Kawanku (BCK) yang menumpukan latihan secara khusus dan latih tubi serta Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA).
Majlis perasmian Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 telah diadakan di Padang RPS Bukit Serok, semalam.
Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan tradisional dan pameran oleh beberapa agensi kerajaan.
