Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa dan sastera bersama-sama dengan masyarakat melalui Program Penyemarakan Seni Budaya di Komuniti Bandar Tun Razak, hari ini.
Program tersebut merupakan program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kelab Kesenian Pendekar Seabad dan Komuniti Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Melalui program ini, DBP telah menjayakan Eksplorasi Pantun Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Majlis pelepasan eksplorasi telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak diiringi oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBhg. Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri; Puan Salmiyah Ahmad, Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan tetamu kehormat yang lain dalam majlis perasmian program tersebut pada pagi tadi.

Dalam acara ini, YBrs. Dr. Hazami Jahari juga berkesempatan menyampaikan Kamus Dewan Perdana sebagai cenderamata kepada YB Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa kunjungan YB Dato’ Seri ke reruai DBP.
Program seumpama ini diharapkan dapat mendekatkan lagi DBP dengan komuniti khususnya menerusi perkhidmatan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang boleh diakses secara dalam talian.