Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi melakar kejayaan antarabangsa apabila manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang disimpan di Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, diiktiraf sebagai Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) Regional Register oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan tersebut diumumkan melalui keputusan Mesyuarat Agung MOWCAP ke-10 yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia, pada 6 hingga 10 Mei 2024. MOWCAP merupakan program UNESCO yang mengiktiraf dan mempromosi warisan dokumentari penting di rantau Asia-Pasifik.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata pengiktirafan itu hasil usaha gigih pustakawan PDM yang mengadakan siri bengkel dan kajian bagi mengumpulkan serta melengkapkan dokumen pencalonan, selaras dengan syarat Jabatan Warisan Negara dan UNESCO. Projek ini turut memenangi Tempat Pertama Anugerah Citra Projek dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah sempena Hari Inovasi DBP 2024.

“Pengiktirafan ini membuktikan nilai intelektual manuskrip Melayu lama dan mengukuhkan keyakinan bahawa dokumen warisan serta sumber ilmu tradisional masih relevan dalam memahami sejarah, sains dan pemikiran masyarakat silam,” katanya pada ucapan alu-aluan Wacana Etnosains dan Teknologi (Siri 5): Perkapalan Alam Melayu di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, pagi tadi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, yang menekankan kehebatan teknologi perkapalan bangsa Melayu sejak ribuan tahun lalu. Beliau menyebut kapal seperti jong, pinisi dan karakoa bukan sahaja tahan lasak, malah menjadi nadi perdagangan, penyebaran Islam dan pertukaran budaya dengan tamadun besar dunia.

Menurutnya, teknologi pembinaan kapal tanpa paku menggunakan kayu tempatan, tali rotan dan pasak kayu, seperti dicatat dalam Sejarah Melayu, membuktikan kebijaksanaan nenek moyang mengadaptasi sumber alam untuk pelayaran jarak jauh.

“Teknologi ini bukan sekadar pengangkutan, tetapi lambang etnosains tempatan, kearifan maritim serta kekuatan sosial dan ekonomi masyarakat Melayu. Kejayaan ini harus menjadi pemangkin kepada gerakan membaca dengan bahan bacaan berakar warisan tempatan dan merentas disiplin,” katanya.

Beliau turut berkongsi anekdot bagaimana DBP memperoleh manuskrip Hikayat Hang Tuah pada awal 1960-an. Menurutnya, ketika itu diketahui manuskrip tersebut disimpan oleh kerabat diraja Kelantan.

Mendekati baginda bukanlah perkara mudah kerana memerlukan orang perantara yang rapat. Tokoh yang dikenal pasti ialah Allahyarham Asaad Shukri Haji Muda. Pada malam ketiga pertemuan, Asaad menyampaikan hasrat DBP dan baginda berkenan menyerahkannya dengan syarat berita penyerahan itu disiarkan keesokan harinya. Asaad segera menghubungi Tun Syed Nasir, yang kemudiannya menghubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menyiarkan berita tentang penyerahan manuskrip Hang Tuah kepada DBP keesokan paginya.

Sejak tahun 1957, DBP mengumpul, memelihara dan memulihara manuskrip Melayu, dengan 330 judul kini disimpan di PDM. Tiga daripadanya telah diiktiraf UNESCO MOW atau MOWCAP, iaitu Sejarah Melayu (2001), Kitab Ilmu Bedil (2016) dan yang terbaharu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (2024), yang turut diwartakan sebagai Objek Warisan pada 6 Mei 2025.

Wacana tersebut diadakan bersempena Program Gerakan Membaca dan Dekad Membaca Kebangsaan 2025, sebagai platform menghidupkan semula wacana intelektual berpaksikan khazanah bangsa dalam konteks ilmiah dan relevan.

Turut hadir di dalam majlis ialah Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, YBrs. Encik Mohamad Muda Bahadin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Johari Md Hassan dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi