Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malam Gala Filem Angkat arahan Feisal Azizuddin telah diadakan di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.
Filem yang bercorak drama dan komedi gelap berdurasi 90 minit akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 14 Ogos 2025 telah menjalani penggambaran di lokasi sekitar Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.
Dengan gabungan elemen drama dan komedi gelap, Angkat turut menampilkan sisi surealisme dan jenaka yang muncul ketika saat-saat duka serta kekacauan hubungan kekeluargaan.
Menurut Feisal, Angkat dibangunkan menerusi beberapa platform pembangunan filem berprestij serantau seperti Pasar Filem Asia di Busan (Korea Selatan), Pasaran Projek Kewangan Filem Asia Tenggara di Singapura, dan Makmal Bakat Luang Prabang di Laos, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai karya yang berpotensi besar dalam landskap sinema Asia Tenggara.
“Filem ini menandakan kesinambungan eksplorasi Feisal terhadap hubungan manusia dan ketegangan sosial, berikutan karya-karya terdahulunya di layar perak dan televisyen. Sebelum ini, Feisk Productions telah menerbitkan karya-karya yang ditayangkan di Netflix, Astro, dan Viu,” ujarnya.
Angkat telah ditayangkan buat kali pertama pada peringkat dunia di Festival Filem Kerusi Biru 2024 (Laos), sebuah festival yang terkenal kerana memberi tumpuan pada suara-suara baharu yang berani dalam sinema Asia.

Mengenai tayangannya di Malaysia, filem ini akan menawarkan pengalaman yang menyentuh hati, melalui kisah dan detik-detik yang boleh dikaitkan oleh ramai orang.
Menurut Iskander selaku penerbit berharap filem terbitan syarikatnya kekal lebih lama di pawagam dan dewan perlu diisi dalam tempoh empat hari pertama tayangannya.
“Saya faham pada masa sekarang semakin sukar untuk mendapatkan penonton membeli tiket pawagam. Harga tiket biasa untuk filem baharu adalah kira-kira RM20, yang bergantung juga pada lokasi dan rangkaian pawagam. Mengurangkan harga tiket bererti kos akan ditanggung oleh Feisk Productions, tetapi saya harap inisiatif ini akan memudahkan rakyat Malaysia menonton Angkat,” ujar beliau.
Kisah Angkat bermula apabila Pak Gani (lakonan Azhar Amir), seorang tukang kayu yang dihormati, meninggal dunia sejurus tiba di Kuala Lumpur.
Walaupun berlatarbelakangkan era COVID-19 dan bencana banjir, tetapi tiga orang anak Allahyarham yang tinggal di Kuala Lumpur, iaitu Ibrahim (Firdaus Karim), Yusuf (Sky Iskandar), dan Karim (Syazani Zikry), perlu membawa pulang jenazahnya ke kampung. Ibu mereka mahu jenazah Pak Gani dikebumikan sebelum maghrib.
Ditemani pemandu van jenazah (hanya sebuah itu yang ada, walaupun sudah usang, akibat masalah semasa) yang lantang, Mia (Sara Mack Lubis), ketiga beradik itu terpaksa mengetepikan perbalahan antara mereka apabila memulakan perjalanan sejauh 100 kilometer untuk pulang ke kampung.

Walau bagaimanapun, malang menimpa mereka semasa berada kira-kira 30 kilometer dari destinasi, van jenazah itu rosak ekoran brek tangan tercabut.
Ibrahim, Yusuf dan Karim, bersama-sama Mia kemudian mengambil keputusan untuk memikul keranda jenazah Pak Gani bagi meneruskan baki perjalanan.
Ketika mereka berempat melalui jalan-jalan kecil, keadaan menjadi semakin buruk apabila terpaksa memilih untuk mengambil jalan pintas yang malangnya membawa kepada lebih banyak halangan.
Sementara itu, di kampung, kakak sulung, Sara (Liana Rafiai), yang gelisah menanti bersama-sama ibu, memulakan pencarian menjejaki.
Apabila hujan lebat mula turun dan malam menjelma, Ibrahim, Yusuf dan Karim mendedahkan rahsia diri masing-masing, dan mereka perlu menghadapinya demi memastikan kejayaan pulang bersama-sama ke kampung.