Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTaiping – Festival Filem Raintown kembali sekali lagi pada 12 hingga 14 September ini di Paragon Cinema, Taiping Mall.
Pengasas festival, Jacky Yeap, yang juga anak jati Taiping berkata, festival yang menampilkan keunikan Taiping, juga dikenali sebagai “Bandar Hujan”, akan menggabungkan program tayangan filem, sesi wacana dan acara lawatan.
Katanya, seperti penganjuran sulung pada tahun lalu, edisi kali ini kekal dengan aspirasi meneroka naratif budaya, landskap dan sejarah Taiping secara sinematik.
“Empat filem cereka yang membawa perspektif unik tentang Taiping dan menjalani penggambaran sepenuhnya di sekitar bandar itu, akan ditayang kepada umum. Filem-filem itu termasuk The Gathering arahan Jin Ong lakonan Jack Tan, yang memaparkan keindahan pekan Taiping, serta The Game arahan Felix Tan yang memilih Bukit Larut sebagai lokasi penggambaran. Filem klasik Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid turut ditayangkan sebagai penghormatan sempena ulang tahun ke-20 karya tersebut.
Turut ditayangkan ialah The Pirate & Emperor Ship arahan Khoo Eng Yow dengan naratif oleh sejarawan Lee Eng Kew yang mengangkat kisah Tan Lian Lay, figura “Raja Lanun” terkenal dari Perak,” tambahnya.
Menurut Jacky lagi, festival ini juga menampilkan 10 filem pendek terbaik yang dipilih daripada 103 penyertaan untuk Pertandingan Filem Pendek Raintown 2025.
“Filem-filem tersebut yang bertemakan ‘Hujan’ merangkumi pelbagai genre termasuk naratif, eksperimental dan penceritaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperkenalkan bakat baharu dalam dunia perfileman tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata, festival ini menyediakan tujuh anugerah, yakni Filem Pendek Terbaik, Anugerah Juri, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik dan Bunyi Terbaik.
Jacky menjelaskan, selain tayangan filem, turut diadakan ialah sesi bual bicara khas bertajuk Kenangan di Lorong B Aulong Lama bersama-sama penulis, Uthaya Sankar SB, yang kembali ke kampung halamannya di Aulong Lama selepas menetap di Selangor, bagi mendokumentasikan memori era 1970-an hingga 1990-an.
Selain itu, katanya, seorang arkitek kelahiran Taiping, YBrs. Profesor Teoh Chee Keong, akan membawa peserta menyusuri kisah-kisah tersembunyi dan lokasi kurang dikenali di sekitar bandar itu.
“Festival ini bukan sekadar ruang untuk menonton filem bermutu, malah juga merupakan platform untuk menyelami sejarah, warisan dan cerita rakyat Taiping,” katanya.
Edisi sulung Festival Filem Raintown tahun lalu berlangsung pada 13 hingga 15 September bersempena sambutan ulang tahun ke-150 bandar Taiping.
