Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Tulisan Jawi perlu terus menjadi agenda wacana dalam kalangan masyarakat dalam usaha mempertahankan kesinambungan serta mengelakkan warisan itu daripada terpinggir dalam arus perdana.

Profesor Jabatan Sejarah dan Tamadun, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Zaid Ahmad mengakui perbincangan mengenainya bukan suatu perkara yang baharu kerana banyak pihak sudah memperkatakannya sebelum ini.

Namun begitu, usaha mengangkat tulisan Jawi bukan berasaskan nostalgia semata-mata, tetapi tindakan tersebut dilihat sebagai langkah untuk meletakkan warisan pusaka bangsa pada kedudukan dan kemuliaan yang selayaknya.

“Bangsa yang berhenti mewacanakan tradisinya, bangsa itu akan terhapus,” katanya ketika membentangkan kertas kerja “Tradisi Jawi dalam Budaya dan Warisan Intelektual Melayu: Memugar Jiwa Peradaban dan Citra Keilmuan Peribumi dalam Dunia Melayu yang Berubah” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur pada Isnin.

Menurut beliau, kesinambungan ilmu merupakan asas penting kepada kelestarian sesuatu bangsa, sejajar dengan pandangan Ibnu Khaldun bahawa sesuatu bangsa yang gagal mengekalkan ilmunya akan berhadapan dengan kejatuhan.

“Kita boleh menyalahkan penjajah tentang perubahan penggunaan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, tetapi faktor dalaman turut menyumbang kepada keadaan itu kerana kita merupakan bangsa yang menyendirikan diri dan tidak melawan dominasi penjajahan,” ujarnya.

Jelas beliau, meskipun tulisan Jawi kini tidak lagi menjadi tulisan arus perdana dalam negara, statusnya sebagai tulisan warisan tetap tidak menghalang penggunaannya dalam kehidupan seharian.

“Dahulu, tulisan rasmi negara ialah Jawi, bukannya Rumi dan perubahannya berlaku selepas kedatangan penjajah yang memperkenalkan aksara Roman secara perlahan-lahan tanpa ada pihak yang menentangnya pada akhirnya,” katanya.

“Proses itu belaku kerana zaman berubah dan masyarakat mencari jalan yang lebih mudah untuk melaksanakan urusan harian,” tambahnya lagi.

Dalam konteks Alam Melayu, beliau memaklumkan bahawa tulisan Jawi terbentuk selepas kedatangan Islam yang dilihat hampir kepada tulisan Arab, sebelum ditambah beberapa aksara agar bahasa dapat disampaikan sesuai dengan lisan tempatan.

Mengulas tentang pembentukan identiti nasional, beliau turut berkata tulisan Jawi bukan hanya sebuah tulisan, tetapi kemuculannya menjadi sebuah pancaran budaya tempatan.

“Semua pendokumentasian awal bangsa Melayu ditulis dalam tulisan Jawi dengan menggunakan laras bahasa Melayu yang sama pada masa itu walaupun terdapat sebahagian perkataan menimbulkan sedikit kekeliruan kerana menggunakan perkataan tempatan.

“Hal ini dapat dilihat tatkala orang Melayu di Nusantara menggunakan laras bahasa yang sama, terutama dalam penulisan kitab Jawi lama yang ditulis oleh ulama Aceh tetapi kitabnya digunakan sehingga ke Patani dan Kelantan,” katanya.

Malah, kata beliau, masyarakat Melayu pada ketika itu tidak mempunyai sebarang masalah dari sudut pemahaman berbanding dengan keadaan ketika ini kebanyakan orang sukar memahami bahasa Indonesia kerana menggunakan laras bahasa baharu.

Dengan mengambil kira cabaran serta usaha pemulihan semula tulisan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah pengarusperdanaan seperti mengintegrasikan motif Jawi dalam seni budaya seperti ukiran dan batik agar lebih dekat dengan jiwa serta psikologi masyarakat.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi