Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pendekatan komunikasi warisan dilihat mampu menghidupkan semula pengetahuan generasi kini tentang warisan dan sejarah kehebatan bangsa yang kian luntur.
Kegagalan masyarakat mengkomunikasikan sejarah secara konsisten menyebabkan rantaiannya terputus sehingga generasi kemudian tidak lagi mengenali kegemilangan bangsa pada masa lalu.
Felo Perunding Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mu’ati @ Zamri Ahmad berkata, komunikasi warisan boleh dimanifestasikan melalui penubuhan muzium dan memanfaatkan media perantara seperti filem, drama, serta penulisan buku.
Beliau turut menukilkan pandangan Jüri Lina yang menyatakan bahawa terdapat tiga kaedah untuk melemahkan dan menjajah sesuatu negeri, iaitu mengaburkan sejarah, memusnahkan bukti sejarah, serta memutuskan hubungan generasi baharu dengan leluhur mereka.
Menurut beliau, masyarakat perlu mengimbau kembali hakikat sejarah yang sering diabaikan, termasuk tamadun Sungai Batu, peristiwa peperangan orang Melayu, Kota Kuala Kedah dan Perjanjian Bangkok 1909.
Katanya lagi, perjuangan ilmu masyarakat Melayu telah pun menyerlah menerusi pelbagai penulisan seperti Risalat Ilmu Hisab (1910) menghimpunkan rumus matematik, Kitab Sifat 20 (1912) mengemukakan konsep peta minda, Adab Raja-raja abad ke-18 menjadi garis panduan kepada pemimpin.
Selain itu, orang Melayu dahulu menguasai ilmu pelayaran, menghasilkan kapal, serta mendokumentasikan ilmu melalui penulisan kitab.
Beliau memaklumkan bahawa sejumlah besar manuskrip Melayu pula kini tersimpan di luar negara, termasuk lebih 20,000 naskhah di Universiti Leiden, Belanda.
Jelas beliau, sejarah turut membuktikan keunggulan teknologi persenjataan Melayu apabila Pahang pernah menjadi pengeluar bedil utama di sekitar Sungai Tembeling, Meriam Seri Patani yang terkenal berjaya menangkis serangan armada Siam.
Bahkan, catatan Alfonso Albuquerque pada tahun 1511 merekodkan bahawa orang Melayu ketika itu menggunakan istinggar (musket) untuk menentang Portugis, di samping teknologi gobek api (fire piston) pada abad ke-17 menggunakan prinsip pemampatan.
“Muzium Tropen di Belanda dan muzium di Austria menyimpan lebih 1,000 bilah keris Melayu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja beliau, “Komunikasi Warisan: Mengkomunikasikan Warisan Silam demi Ketamadunan Masa Hadapan” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur pada Selasa.
Dr. Abdul Mu’ati menambah, hasil tangan orang Melayu memiliki nilai estetika yang tinggi melalui ukiran halus pada hulu dan bilah keris serta hulu kapak.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa seni bina rumah Melayu sebenarnya memiliki keunikan tersendiri dengan sistem tanggam, ukiran halus serta aturan simbolik pada struktur rumah dan bukannya seni bina primitif yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Dalam bidang kesusasteraan, beliau menekankan bahawa pantun merupakan khazanah unik di Alam Melayu yang menunjukkan kemampuan intelektual masyarakat berfikir aras tinggi yang menjadi asas kepada epistemologi Melayu.
“Malangnya, kita tidak menghargai pantun, sedangkan orang Perancis menghargai dan tertarik kepada pantun kita sehingga menubuhkan Amis Francophones du Pantoun yang masih aktif sampai hari ini,” ujarnya.
“Bahkan, penyelidik Perancis, François-René Daillie pernah datang ke Malaysia untuk mengkaji pantun dan akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” tambahnya lagi.