Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2025 menjadi platform penting untuk memberikan peluang yang setara kepada murid Orang Asli dan peribumi untuk memperkaya pengalaman bahasa, sastera dan budaya, di samping menggilap bakat kepimpinan dan kreativiti mereka.
Karnival yang dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan itu diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Mohd Hassany Hashim yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dalam ucapannya berkata, karnival tersebut bukan sahaja menyokong pembelajaran di luar bilik darjah, malah menjadi medan dalam pembentukan potensi murid melalui pelbagai aktiviti yang mencabar minda dan fizikal bermula dari peringkat negeri hingga peringkat kebangsaan.
Menurut beliau,
Penganjuran karnival ini turut membuka ruang kepada murid Orang Asli dan peribumi untuk mengembangkan potensi dalam tiga domain utama, iaitu bahasa, seni dan budaya serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) agar setanding dengan rakan mereka di arus perdana.
Beliau juga menyeru agar murid Orang Asli dan peribumi terus berjuang memartabatkan pendidikan, khususnya dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, demi masa hadapan yang gemilang, seiring dengan matlamat pendidikan, iaitu memastikan “Tiada Generasi Anak-anak Malaysia yang Tertinggal.”

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa DBP sentiasa memberikan komitmen sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk menyokong usaha kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia bagi melaksanakan agenda Inisiatif #57 yang memberikan tumpuan terhadap pengukuhan kemenjadian murid Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, DBP akan terus memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh pihak kementerian, termasuklah apa-apa keperluan khusus bagi murid Orang Asli dan peribumi, seiring dengan komitmen DBP untuk memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan, memantapkan kemenjadian murid serta menyerlahkan kebitaraan mereka.
Ujar beliau,
DBP bersedia untuk terus berganding bahu dalam penganjuran karnival seumpama ini pada tahun hadapan melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum yang berperanan mengurus kegiatan pengembangan bahasa kebangsaan untuk semua lapisan masyarakat, termasuklah murid Orang Asli dan peribumi.
Karnival yang berlangsung dalam bentuk pertandingan ini menghimpunkan pelbagai acara yang berteraskan bahasa dan sastera seperti deklamasi sajak, pengucapan awam, pidato kenegaraan, nyanyian solo dan nyanyian duet, selain mempersembahkan elemen seni dan budaya menerusi tarian seni kreatif serta pertandingan Amalan Terbaik Pengetua dan Guru Besar (PGB), robotik dan saintis muda yang mencerminkan keseimbangan antara warisan budaya dengan kemajuan teknologi.
Sebanyak 187 orang murid bersama-sama dengan 89 orang guru pengiring, lima orang pengetua dan guru besar sebagai pembentang Amalan Terbaik PGB, 26 orang ahli sekretariat Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, lapan orang pegawai KPM serta 31 orang pegawai DBP terlibat untuk menjayakan program ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh; Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Tuan Haji Azman Mashuri; Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang, Puan Rafeah Mat Zain; Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri; barisan pengetua dan guru besar; guru-guru pengiring; karyawan DBP serta tetamu undangan lain.