Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – MonoloQue, kumpulan muzik tempatan yang ditubuhkan pada tahun 2004, kembali membuka tirai muzik 2025 dengan karya terbaharu berjudul Villa Marhaen (Mereka Vs Kami) yang menyulam kenyataan sosial melalui bingkai alegori puitis, dan menjadi pembuka jalan kepada album penuh akan datang, iaitu album ketiga yang diberi nama Tunjuk Langit.

Mendapat ilham daripada sajak ikonik Marhaenville, karya Sasterawan Negara A. Samad Said, loQue, arkitek utama di sebalik MonoloQue, memetik getar makna daripada puisi moden tersebut, lalu menyaringnya menjadi suatu bentuk baharu, iaitu Villa Marhaen.

Jika Marhaenville menyentuh sisi sarkastik terhadap masyarakat marhaen, Villa Marhaen pula menenun penceritaannya sebagai refleksi perbezaan kelas sebuah kisah tersirat tentang jurang antara kayangan dengan rakyat.

Jelas loQue, Villa Marhaen merupakan alegori, suatu pandangan kias tentang dua darjat. MonoloQue, katanya, tidak mahu menjurus kepada sesiapa atau apa-apa, tetapi membiarkan pendengar mentafsirkannya sendiri, “siapa makan cili dia yang rasa pedas”.

“Dari sudut teknikal, lagu ini menggabungkan lapisan bunyi eksperimental yang telah menjadi identiti MonoloQue, ketukan drum yang hampir ritualistik, petikan gitar yang berselang antara realisme dengan surealisme, serta susunan suara yang memberikan ruang kepada gema dan gaung seperti suara rakyat yang tidak selalu didengar,” ujar loQue atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Anuar.

Keberanian dalam reka bunyi ini menjadikan Villa Marhaen bukan sekadar lagu, malah pengalaman bunyi yang menggugah. Menariknya, Villa Marhaen turut menampilkan sentuhan suara latar kanak-kanak daripada kumpulan nasyid Farabi.

Dari segi komposisi, Villa Marhaen memperlihatkan peralihan yang ketara berbanding dengan karya terdahulu.

Lagu ini membuka lorong bunyi yang baharu dalam peta muzik MonoloQue, dan dibina atas latar yang sedikit eksotik dengan sentuhan irama yang berkiblatkan gurun, suasana padang pasir yang membangkitkan rasa gersang, tetapi penuh dengan daya tarikan.

Menariknya, pemilihan judul Marhaen membawa nuansa untuk menggabungkan simbol rakyat dengan imejan Villa yang lazimnya dikaitkan dengan golongan elit.

Bunyi-bunyian yang berakar dari Timur Tengah bukan sekadar tempelan, tetapi lahir secara organik daripada judulnya, Marhaen yang berjejak etimologi Arab.

Pertembungan dua dunia ini bukan sekadar konsep, tetapi dihayati dalam setiap lapisan muzik, menjadikan keseluruhannya sebagai suatu alegori hidup.

Walau bagaimanapun, Villa Marhaen bukan sekadar eksotika sonic, malah suatu sindiran yang tenang dan menikam kerana di sebalik melodi yang merdu dan susunan harmoni yang kaya, terselit satira sosial yang halus.

Lagu ini mengimbangi ruang antara fantasi dengan realiti, dan antara ilusi kemewahan dengan kebenaran rakyat terbanyak.

Sebagai kesinambungan kepada warisan karya berteraskan rakyat selepas lagu Ringgit, Villa Marhaen meneruskan jalur “lagu untuk rakyat daripada rakyat” dalam gaya MonoloQue.

Karya ini bukan sekadar lirik bersifat sosial, malah bahasa muzik yang menyalurkan denyut nadi masyarakat menerusi irama dan metafora. Namun begitu, dalam menolak klise, loQue mengangkat pendekatan ini sebagai “muzik kiasan rakyat”, iaitu suara marhaen yang dibingkai melalui simbol dan seni, bukan slogan semata-mata.

Dengan Villa Marhaen, monoloQue menegaskan keupayaan seni untuk menjadi jendela yang terbuka kepada tafsiran, suatu lorong sunyi antara suara rakyat dengan gema kuasa, dan antara ilusi kayangan dengan realiti marhaen.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi