Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Melaka sekali lagi meneguhkan kedudukannya sebagai pusat warisan dan budaya serantau apabila memperkenalkan satu inisiatif baharu yang diberi nama “Bahasa Seni ASEAN.”
Usaha ini bakal dizahirkan melalui persembahan Zapin Nusantara sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Zapin Nusantara bukan sekadar sebuah persembahan tari, tetapi sebuah simbol penyatuan budaya Asia Tenggara.
Katanya, persembahan ini akan menghimpunkan penari-penari dari Indonesia, selatan Thailand, Singapura dan Brunei, dengan setiap negara membawa gaya zapin yang berakar daripada sejarah dan tradisi masyarakat mereka.
“Melaka mahu mendirikan satu bahasa seni ASEAN dalam bentuk zapin yang bukan sekadar gerak tari, tetapi sebuah bahasa budaya yang menyatukan nilai, sejarah, dan persaudaraan rantau ini.
“Zapin merupakan medium yang mampu menembusi batas politik, geografi dan telah lama menjadi sebahagian daripada identiti budaya Melayu. Dari irama gambus hingga langkah berpasangan, setiap pergerakan melambangkan kesopanan, disiplin, dan kearifan masyarakat,”katanya.
Menurut Datuk Seri Utama Ab Rauf, membawa Zapin Nusantara ke pentas antarabangsa sebagai bahasa seni ASEAN, juga merupakan usaha memperkukuh kedudukan warisan Melayu sebagai warisan serumpun.
Katanya, persembahan ini turut menjadi bukti bahawa tarian tradisi tidak hanya berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga sebagai alat diplomasi budaya dan masyarakat serantau dapat memahami persamaan dan perbezaan budaya, sekali gus membina jambatan persefahaman yang lebih kukuh.
“Selain itu, acara ini bertepatan dengan matlamat Melaka untuk menonjolkan negeri ini sebagai pusat pertemuan budaya global dengan menyatukan penari serumpun di satu pentas dan mampu menjadi daya tarikan utama pelancongan dunia,”katanya.
Datuk Seri Utama Ab Rauf menjelaskan, persembahan Zapin Nusantara itu bukan hanya sekadar untuk tontonan, malah menjadi manifestasi warisan yang diwarisi turun-temurun dengan membawa mesej bahawa seni tradisi bukanlah tinggalan lama yang usang, sebaliknya sebuah bahasa hidup yang terus relevan dalam dunia moden, apatah lagi apabila dipersembahkan di hadapan masyarakat antarabangsa.
“Dengan usaha ini, Melaka akan memperlihatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja kaya sejarah, tetapi juga teguh dalam memperjuangkan seni budaya dimana Zapin Nusantara akan berdiri sebagai bukti bahawa seni tradisi Melayu dan serumpun mampu menjadi bahasa penyatuan yang menghubungkan ASEAN dengan dunia,”katanya.
