Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Khazanah warisan arkeologi negara yang tersimpan di Belanda, iaitu bahagian serta rangka manusia prasejarah dari Tapak Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas lebih lapan dekad berada di luar Malaysia.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, usaha ini diterajui oleh pihaknya melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Pemulangan ini mencerminkan kejayaan diplomasi budaya Malaysia serta tekad kerajaan MADANI memperkukuh jati diri nasional melalui pemeliharaan sejarah dan warisan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MOTAC, majlis penyerahan rasmi koleksi bersejarah ini berlangsung di Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda, The Hague.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, bersama-sama Duta Besar Malaysia ke Belanda, Tuan Yang Terutama Dato’ Roseli Abdul; Ketua Pengarah JWN merangkap Pesuruhjaya Warisan, Encik Mohamad Muda Bahadin serta pegawai berkaitan.

Tambahnya, sesi menandatangani Acknowledgement of Transfer (AoT) oleh wakil kedua-dua buah negara menjadi simbol kejayaan diplomasi budaya ini yang memperkukuh hubungan bilateral Malaysia–Belanda.
“Proses pemulangan bermula pada tahun 2021 setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan hasrat mempamerkan koleksi ini di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan di Seberang Perai Utara,” jelasnya.
MOTAC berkata, sejak Mac 2023, beberapa siri rundingan telah dijalankan sebelum kerajaan Belanda bersetuju memulangkan koleksi ini melalui surat rasmi State Secretary for Culture and Media kepada Duta Besar Malaysia.
Ujarnya, sepanjang hampir empat tahun, JWN bersama-sama Kementerian Luar Negeri dan agensi berkaitan memastikan pemulangan ini mematuhi prosedur perundangan kedua-dua buah negara.
MOTAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Belanda dan Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda atas persetujuan serta ketangkasan memulangkan koleksi berharga ini.
Tambahnya, penghargaan turut ditujukan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Belanda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta semua pihak yang memastikan kelancaran proses ini.
Menurut MOTAC, kejayaan ini jelas melambangkan semangat MADANI yang menitikberatkan keberdayaan, akauntabiliti, kesejahteraan, keterangkuman dan hormat-menghormati.
“Hal ini mencerminkan nilai ketelusan dan tanggungjawab bersama bagi memastikan warisan sejarah tidak terpinggir, malah dikembalikan untuk tatapan rakyat,” jelasnya,
Tambahnya, inisiatif ini turut mengukuhkan kemampanan budaya, memupuk keterangkuman masyarakat dan memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan pusat, kerajaan negeri serta rakan antarabangsa demi kesejahteraan generasi masa depan.
MOTAC memaklumkan bahawa koleksi Guar Kepah ini akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah mulai September 2025, dan galeri tersebut bakal menjadi produk arkeopelancongan utama negara serta pusat interpretasi dan pendidikan warisan prasejarah.
Katanya, galeri tersebut diharap menjadi tarikan berimpak tinggi bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh aspirasi MADANI untuk memartabatkan jati diri nasional, memperkasakan nilai budaya dan mengangkat sejarah negara sebagai sumber kekuatan bangsa.