Diterbitkan pada 2 September 2025, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Majlis Tayangan Perdana Dato’ Sagor: Maruah di Bumi Perak (DSMBP) telah diadakan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, baru-baru ini.

Filem pendek sejarah tersebut dihasilkan oleh pengarah muda, iaitu Mohammad Hilmi Azmin untuk memperingati perjuangan Dato’ Sagor bersempena dengan 150 tahun peristiwa Pasir Salak pada tahun 1875 yang menampilkan penentangan terhadap British dan kematian Birch.

Watak Dato’ Sagor telah dilakonkan olehvReza Hasbi dan barisan yang menjayakan filem tersebut terdiri daripada M. Razman (Sultan Abdullah), Rosazli DPH (Ngah Jabor), Zahimi Amin (Dato’ Maharaja Lela) dan Adam Mat Salleh (Birch).

Ngah Kamdin Radin Lope atau lebih dikenali dengan gelaran Dato’ Sagor, merupakan satu daripada Orang Besar Delapan Perak. Beliau juga antara individu yang bertanggungjawab atas kematian Residen British di Perak, iaitu J.W.W. Birch.

Penghasilan DSMBP  telah mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Industri Kreatif Negeri Perak (PORT) melalui Dana Kreatif Perak (DKP), dan bertujuan menghidupkan semula semangat kepahlawanan serta patriotisme dalam kalangan generasi muda melalui medium filem.

Dato’ Sagor bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi lambang keberanian dan semangat orang Melayu dalam mempertahankan maruah dan tanah air.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Jurey Latiff Mohd Rosli, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, merangkap pengarah drama televisyen dan filem terkenal tanah air yang turut hadir, dalam ucapan alu-aluannya mencadangkan Hilmi memohon Dana Kandungan Digital, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menghasilkan filem yang lebih hebat.

Ketika ditanya mengapa menghasilkan DSMBP dalam bentuk filem pendek, Hilmi menjelaskan sebagai percubaan sekali gus memenuhi impiannya mengarahkan filem patriotisme dalam kekangan bajet.

Reza pula menceritakan pengalamannya dalam pembikinan DSMBP selama lapan hari yang penuh cabaran kerana mengalami kecederaan agak teruk, dan gigitan serangga berbisa pada wajahnya.

Begitu pun, Reza bersyukur kerana akhirnya berjaya menyelesaikan tugas walaupun berpendapat ada pelakon lain yang lebih layak. Katanya, sudah tertulis beliau terpilih memegang watak Dato’ Sagor.

perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Abu Hassan Ashaari Alang Jeman, wakil kerabat Dato’ Sagor. Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak,  YBhg. Datin Shahnoor Zahurin

Sebelum tayangan DSMBP, para hadirin disajikan dengan persembahan teater pendek berjudul Pahlawan Dato’ Sagor yang menampilkan Reza, Adam, Rosazli, Azim Yusop (Ketua Kampung), dan beberapa orang pelakon lain, serta deklamasi sajak dan nyanyian secara akustik oleh Din Teja.

DSMBP turut dibintangi Rayyan Ho (Panji Cilik); Irfan Ghani, Kamal Bacha Ibrahim, Sharizam, dan Mat Redha (Askar British), Aqem Hamdan, Akmal Rizal, Din Ipoh dan Fikri (Pemuda Kampung), Raja Ekram (Raja Yusuf/Dato’ Laksamana Amin), Jamalul Afendi (Ngah Ibrahim), Abah Rashid (Shahbandar), Anis Md. Rashid (Isteri Shahbandar), Mat Arshad (Tok Canang), A. Khadir Osman (Pak Andak Endut), Tim Day (Captain Speedy), dan Muhd. Adeeb (Sepuntum).

Selepas tayangan di Ipoh, khabarnya DSMBP bakal diperkenalkan di sekolah serta universiti, yang bertujuan menghubungkan generasi muda dengan sejarah pahlawan tempatan, dan meningkatkan kesedaran tentang kisah kewiraan mereka.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi