Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTeluk Intan – Festival Kraf Perak (FKP) 2025 menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosikan dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelancong.
Kraftangan Malaysia berkata, FKP 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui pihaknya bermula pada 28 Ogos 2025 hingga 7 September 2025 mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.
“Tujuan penganjuran FKP 2025 adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf beridentitikan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kraftangan Malaysia, FKP 2025 berlangsung selama 11 hari melibatkan 55 orang usahawan kraf yang mengetengahkan jualan produk kraf tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

Katanya, festival ini juga menjadi platform pertemuan usahawan kraf dengan pembeli dari dalam negara seperti syarikat pengeksport barangan berkaitan dengan kraf, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli belah.
“Pelbagai pengisian aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung seperti Padanan Perniagaan, Jualan Produk Kraf, Pameran Produk Kraf Baharu, Pameran Institut Kraf Negara, Pengembangan Ilmu (Aktiviti Interaktif Kraf dan Fun Craft), Aktiviti Galakan Pengunjung (Pertandingan Teka Berat Keranjang Kraf, Street Soccer, Bilah Tajam, Gusti Lengan, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Doodle Art, Musang Berjanggut (Manik) dan Kolaj Merdeka), Persembahan Kesenian dan Lawatan Berpandu Berkumpulan,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pengunjung berpeluang menyaksikan aktiviti Demonstrasi Kraf yang merupakan satu daripada aktiviti perkongsian pengetahuan kepada pengunjung berkaitan dengan seni kraf tempatan.
Katanya, antara aktiviti demonstrasi kraf yang diadakan termasuklah anyaman kelarai, anyaman mengkuang, seramik dan tekatan benang emas.
Kraftangan Malaysia berkata, Sesi Walkabout FKP 2025 telah berlangsung pada 1 September 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot.
Ujarnya, pada Sesi Walkabout ini, tetamu kehormat menyantuni 55 orang usahawan kraf yang terlibat dengan reruai aktiviti Jualan Produk Kraf.
Selain itu, katanya, tetamu kehormat turut melihat Pameran Produk Kraf Baharu yang menampilkan olahan reka corak dan motif daripada bunga kelumpang seperti produk kraf tekstil batik, kotak cenderamata dan hiasan dinding.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Encik Surrendren Sathasivam dan diiringi oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, YBhg. Datuk ‘Ainu Sham binti Haji Ramli.